Hiburan

Sasha Saidin akui keletihan selepas ambil vaksin Sinopharm kedua Covid-19

Penyanyi, Sasha Saidin mengakui dia mengalami keletihan selepas mengambil vaksin kedua Covid-19 jenis Sinopharm di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Sasha, dia juga berasa mengantuk manakala suaminya, Sirhan Wahab mengalami pening kepala.

“Selepas mengambil ubat paracetamol dan tidur seketika pada waktu petang itu, kesihatan kami kembali normal seperti biasa.

“Setakat ini, kami berdua sihat dan akan saling memantau tahap kesihatan satu sama lain. Kami juga sudah menjalankan rutin lama seperti biasa,” katanya.

Dos vaksin kedua itu diambil pasangan tersebut selepas 21 hari mereka mengambil vaksin pertama secara percuma di sebuah hospital di UAE.

Ujarnya, dos kedua ini seperti dimaklumkan petugas kesihatan adalah sebagai vaksin tambahan dan lebih ringan berbanding dos yang pertama.

“Apa yang kami tahu, dos pertama boeh memberi kesan seperti demam, alahan dan lain terhadap penerimanya.

“Tetapi untuk dos kedua ini, kesan sampingan vaksin adalah lebih rendah berbanding yang pertama,” katanya.

Dalam pada itu, Sasha turut merakamkan ucapan penghargaan terhadap kerajaan UAE dan semua petugas kesihatan yang bertungkus lumus bekerja untuk mengekang penularan Covid-19.

Ujarnya, tidak kisah sama ada seseorang itu memilih mana-mana vaksin Covid-19 yang tersedia, yang penting ialah patuh pada operasi pematuhan standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, bekas anggota kumpulan Elite itu memberitahu, dia mengambil keputusan untuk mengambil vaksin tersebut selepas melakukan perbandingan dengan satu lagi vaksin iaitu Pfizer.

“Kami akhirnya memutuskan untuk terus mengambil Sinopharm yang mempunyai keberkesanan sebanyak 86% selepas mendengar khabar berkenaan mutasi terbaharu Covid-19.

“Malah, sebelum mengambil vaksin, kami juga diberitahu oleh pihak kesihatan di pusat vaksinasi bahawa Sinopharm di UAE memang telah selesai peringkat percubaan yang bermula pada Ogos lalu dan mencapai tahap yang memuaskan,” jelasnya. -SM

(Visited 417 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button