Jenayah

Guna Jawatan Lulus Pinjaman, 3 Pegawai Bank Terpalit Rasuah dan Pengubahan Wang Haram

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga pegawai bank daripada dua institusi perbankan terkemuka di ibu negara kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan melebihi RM21 juta.

Memetik laporan Utusan, Tiga individu terbabit terdiri daripada pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan bank. Mereka dipercayai bersubahat dalam permohonan dan kelulusan pinjaman oleh tiga syarikat pada tahun 2024.

Menurut sumber SPRM seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang memegang jawatan ketua jabatan telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang membuat lima permohonan pinjaman dengan nilai keseluruhan melebihi RM21 juta.

“Wang sogokan itu diberikan sebagai balasan untuk mempercepat dan meluluskan pinjaman yang dikemukakan oleh syarikat-syarikat berkenaan,” kata sumber tersebut.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek turut disyaki secara bersama terlibat memiliki, memindah dan menggunakan wang hasil daripada bayaran rasuah tersebut.

Ketiga-tiga suspek ditahan antara jam 4 hingga 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya ketika hadir untuk memberi keterangan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button