Politik

Guna alasan ‘member’ ajak lepak

BEKAS Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disaran menggunakan alasan diajak oleh kawan kerana menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel yang turut disertai oleh pemimpin UMNO, Pas, Bersatu dan sebilangan kecil pemimpin PKR yang keluar parti pada malam Ahad lalu.

Saranan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Ketua Armada Bersatu  itu sekiranya Ahli Parlimen Muar itu tidak mempunyai alasan mengapa beliau turut hadir pada majlis makan malam yang penuh kontroversi tersebut.

“Laaa member ajak lepak saje pun, x (tak) gi (pergi) kang (karang) kecik hati”.

“Juara debat kalau tak tahu nak jawab kenapa ada kat sana malam tu. Boleh guna cover line ni,” kata Najib.

Semalam Syed Saddiq  menyatakan Armada menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri interim, Dr Mahathir Mohamad. “Saya rasa keputusan sudah jelas, kita sokong Dr Mahathir.”

Pada Ahad lalu, sebilangan besar pemimpin UMNO, Pas termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri majlis makan malam di Hotel Sheraton.

Majlis yang turut dihadiri Syed Saddiq itu dipercayai bagi memenuhi undangan majlis makan malam bersama pemimpin PKR yang menyokong bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Ser Mohamed Azmin Ali.

Hari yang penuh bersejarah itu pada siangnya menyaksikan parti-parti utama iaitu UMNO, Pas, Bersatu dan parti dari Sabah dan Sarawak mengadakan mesyuarat tergempar.

Pada keesokan harinya, iaitu Isnin lalu, negara digemparkan dengan pengumuman Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang mengisytiharkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan. Disusuli dengan pengumuman Azmin dan 10 pemimpin PKR keluar daripada parti itu.

Pada hari sama Dr. Mahathir turut mengumumkan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Krisis politik yang disebabkan tindakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan keluar daripada Pakatan Harapan berlanjutan sehingga hari ini.

Keadaan itu menyebabkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan Dr. Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri interim sehingga kerajaan  baharu ditubuhkan.

Al-Sultan Abdullah turut mengadakan sesi temu bual dengan 222 Ahli Parlimen bertujuan menentukan sokongan mereka terhadap pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu atau mengadakan Pilihan Raya Umum semula.-SM

 

 

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button