Politik

Guan Eng sedar rakyat mahukan kerajaan yang menunaikan janji

IMEJ yang ditampil oleh Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka adalah kerajaan yang bersih dan bebas daripada kleptokrasi tidak mencukupi sekiranya tidak menunaikan janji pilihan raya lalu.

Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sedar akan perkara itu dan mengakui kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai membuktikan rakyat mahu pemimpin PH menunaikan janji.

“Isyarat itu kita hormati. Kejayaan kita ubah daripada kleptokrasi kepada demokrasi, daripada sebuah kerajaan yang korup dan berasuah kepada kerajaan bersih tidak mencukupi.

“Sekarang kerajaan bersih, bukan macam kerajaan dulu, itu tidak mencukupi.

“Rakyat mahu lihat bahawa kita dapat menunaikan janji-janji yang kita buat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara SME Bank dengan Malaysia Rail Link & China Communication Construction Company (CCCC) di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya rasa adalah penting bahawa PH memberi tumpuan untuk menunaikan janji-janji tersebut seperti mana yang telah digariskan dalam manifesto PRU14 PH.

“Saya rasa itu adalah salah satu mesej pengundi. PH perlu mewakili semua rakyat Malaysia dan ia harus diberikan penekanan bahawa PH adalah kerajaan untuk semua.

“Di sini kita akan terus berusaha untuk mendengar itu suara yang diutarakan,” katanya.

BN menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu lalu selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal daripada MCA itu memperolehi 25,466 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Empat calon lain pula hilang wang deposit kerana memperolehi undi kurang dari satu perlapan atau 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dikira.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi sementara calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi. – SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button