Mahkamah

Goldman Sachs bebas tuduhan urus niaga bon 1MDB bernilai RM27.2 bilion

GOLDMAN Sachs Intenational Ltd yang berhadapan dengan empat pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM27.2 bilion dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap bank pelaburan global tersebut yang berpangkalan di United Kingdom (UK) berjumlah USD6.5 bilion.

Kata Hakim Mohamed Zaini, oleh itu, Goldman Sachs International Ltd., Goldman Sachs (Asia) dan Goldman Sacs (Singapura) dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan terhadap mereka.

Dua tahun lalu, pada Disember 2018, Malaysia telah memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Limited).

Kesalahan itu dilakukan di pejabat 1MDB, Aras 8, Menara IMC di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur antara 19 Mac 2021 dan 11 November 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

Pada 4 Julai lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata, Goldman Sachs bersetuju membayar US$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang diatur untuk 1MDB.

Kementerian itu berkata, penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai US$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya US$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut. – SUMBER BERNAMA – SM

 

(Visited 54 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button