Nasional

Guan Eng minta dedah senarai 101 projek rundingan terus kerajaan PH

BEKAS Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan senarai 101 projek secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kata Guan Eng seperti laporan BERNAMA hari ini, beliau tiada senarai projek itu.

Yang ada, kata Guan Eng ialah MOF (Kementerian Kewangan), katanya yang menyedari hakikat bahawa hari ini, beliau bukan lagi seorang menteri.

Kata Guan Eng lagi, beliau tidak boleh mengumumkan senarai 101 projek berkenaan kerana butirannya tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana laporan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.

Pada sidang akhbar yang sama, Guan Eng turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat kajian menyeluruh terhadap projek rundingan terus yang diluluskan pada zaman Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) dan bukan hanya projek-projek di zaman PH sebagai kerajaan.

Untuk rekod, PH memerintah selama 22 bulan sebelum PN mengambil alih tampuk kerajaan sehingga ke hari ini.

Kelmarin (Isnin), Tengku Zafrul pada persidangan Dewan Rakyat memberitahu, rekod menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng telah ini meluluskan 101 projek secara rundingan terus.

Semalam, dalam sidang akhbar, Guan Eng mengakui beliau meluluskan projek-projek tersebut  tetapi menyifatkan, kelulusan yang diberikannya itu adalah sebagai perkara lumrah serta tidak bercanggah dengan peraturan kerajaan.

Kata Guan Eng lagi, jumlah itu hanyalah mewakili empat peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan PH sebelum ini. – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button