fbpx
Mahkamah

Guan Eng dituduh minta rasuah keuntungan 10 peratus

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta rasuah berhubung projek terowong bawah tanah.

Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP itu dituduh meminta rasuah daripada keuntungan yang bakal diterima oleh  Pengarah Eksekutif Kanan Zenith, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebanyak 10 peratus.

Rasuah yang diminta itu atas kapasiti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang adalah sebagai upah untuk membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di ibu negara pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.-SM

Show More

Related Articles

Back to top button