Politik

Vaksin 20 kali ganda mahal: Pengiraan saya berdasarkan laporan akhbar 7 Nov. – Kit Siang

AHLI Parlimen DAP Lim Kit Siang mempertahankan kenyataan beliau bahawa Malaysia membayar harga vaksin kira-kira 20 kali ganda lebih tinggi berbanding Belgium.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan terbaharunya menegaskan pengiraan beliau berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada 7 November lalu.

“Pengiraan saya menunjukkan yang Malaysia membayar kira-kira 20 kali ganda lebih tinggi, berdasarkan laporan akhbar yang bertarikh 7 November 2020.

“Yang memetik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai mengatakan yang kerajaan telah “memulakan rancangan yang bernilai RM3 bilion untuk mengedarkan vaksin kepada sejumlah 6.4 juta penduduk di negara kita, sesegera yang mungkin apabila vaksin ini dibuktikan sebagai selamat untuk digunakan seawal bulan Januari 2021”, kata Kit Siang.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bahawa dakwaan yang dibuat beliau mengenai harga yang lebih tiggi itu tidak tepat.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung status terkini portfolio pembelian vaksin COVID-19 hari ini.

“Kini, Khairy mengatakan yang peruntukan RM3 bilion ini adalah “anggaran keseluruhan untuk mendapatkan vaksinasi bagi 70 peratus” penduduk negara kita. Siapakah yang betul — Khairy atau Muhyiddin?” tanya Kit Siang mempertahankan kenyataan yang dibuat sebelum ini.

Muhyiddin hari ini mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan COVAX, Pfizer dan BioNTech serta AstraZeneca, dan bakal memuktamadkan perjanjian dengan Sinovac, CanSino dan juga Gamaleya.

Melalui kesemua perjanjian itu Malaysia akan mendapat vaksin untuk hampir 83 peratus penduduk dengan harga RM2.05 bilion.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM3 bilion bagi pembelian vaksin Covid-19 yang akan diberikan secara percuma kepada semua warganegara Malaysia.

“Dengan pengumuman ini, saya harap ia dapat menyelesaikan maklumat salah yang disebarkan Kit Siang yang mendakwa kerajaan membelanjakan RM3 bilion hanya untuk perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech sahaja merangkumi 20 peratus daripada populasi rakyat Malaysia,” kata Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitternya.

Khairy telahpun menyangkal kenyataan  Kit Siang itu semalam selepas beliau membandingkan kos vaksin Pfizer yang perlu dibayar negara.

“RM3 bilion merupakan anggaran keseluruhan kami untuk dapatkan bekalan sekurang-kurangnya untuk 70 peratus daripada penduduk. Kenyataan anda adalah tidak tepat,” ciapnya di Twitter hari ini.

Kit Siang dalam kenyataan awalnya pada Isnin mempersoal mengapa kerajaan memerlukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.-SM

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button