NasionalRencana

Apabila Jakim sudah ‘disajatkan’

SEGALA kekecohan yang ditimbulkan oleh Mohamad Sajat Kamaruzzaman tidak akan berlaku jika dua tahun lalu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan status jantina jutawan kosmetik yang menggunakan nama Nur Sajat itu.

Dua tahun yang lalu Jakim melalui Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Dr. Mohd Izwan Md Yusof telah mengadakan pertemuan dengan Sajat dan kedua-dua ibu bapanya bagi menyelesaikan masalah itu.

Kekeliruan jantina itu bagaimanapun tidak diselesaikan dan Sajat terus menggunakannya untuk menarik peminat di media sosial dan kini bergelar jutawan.

Bagaimanapun akhirnya Sajat membuat tindakan paling besar silapnya apabila berpakaian seperti wanita ketika menunaikan ibadah umrah tanpa menyedari dia telah mencemari tempat suci umat Islam itu.

Lebih buruk lagi undang-undang Arab Saudi memang tidak membenarkan golongan transgendar untuk menunaikan haji dan umrah.

Hinggakan pada 2017 terdapat golongan berkenaan yang menunaikan umrah dan berpakaian wanita telah ditangkap serta meninggal dunia ketika di dalam tahanan, dipercayai akibat didera.

Pihak berkuasa Arab Saudi memang tidak bertolak ansur berhubung isu berkenaan kerana ia jelas mencemarkan Tanah Suci.

Jadi tidak hairan polis Arab telah memberi amaran kepada seorang rakyat Malaysia supaya tidak melakukan perbuatan sedemikian kerana mereka akan berdepan dengan tindakan tegas pihak berkuasa.

Lebih malang lagi tindakan Sajat itu boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi dan akhirnya mungkin menyebabkan kemudahan menggunakan visa melancong untuk menunaikan umrah ditarik balik. Bermakna jika sesiapa yang mahu menunaikan umrah mereka perlu memohon visa umrah dari kedutaan Arab Saudi terlebih dahulu.

Ini bukan sahaja menjejaskan peluang rakyat negara ini untuk menunaikan umrah, tetapi juga menjejaskan syarikat yang menjalankan perniagaan menguruskan jemaah umrah dan haji kerana jumlah jemaah pastinya akan dikurangkan.

Jika Jakim bertindak dengan lebih bijak sejak awal masalah ini tidak akan timbul dan kini Sajat menunggu masa sahaja untuk ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Sudah tentu ia akan membabitkan Wisma Putra selepas ini dan mungkin dengan budi bicara serta hubungan baik kedua-dua buah negara Sajat akan terlepas daripada tindakan.

Diharapkan kejadian menjadi pengajaran kepada Sajat dan golongan sepertinya serta syarikat pengendali supaya lebih berhati-hati serta memberi tumpuan kepada menunaikan ibadah ketika di tanah suci dan bukan mencari publisiti murahan.

Contohilah wartawan hiburan tersohor Allahyarham Juwie yang walaupun berperwatakan lembut, tetapi ketika menunaikan haji dan umrah beliau berusaha berpakaian dan kelihatan seperti lelaki sewajarnya.

Jika Sajat memahami hukum hakam Islam beliau tidak akan melakukan perbuatan itu kerana ibadah umrah yang dikerjakan oleh seorang lelaki yang berkelakuan dan berpakaian seperti wanita adalah tidak sah dan satu perkara sia-sia.

Sinar Harian melaporkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, golongan mak nyah tidak dihalang untuk mengerjakan umrah dan haji namun mereka harus bertaubat terlebih dahulu dan berubah sepenuhnya.

Menurutnya, sekiranya seorang lelaki berkelakuan dan berpakaian seperti wanita dalam melakukan ibadah, ia juga dianggap mempermain-mainkan agama.

“Lelaki secara semula jadi berkeadaan sedemikian tidak dicela dan dikutuk kerana ia tidak berlaku dengan kehendak mereka. Namun, ia tidak bererti golongan mak nyah dihalang daripada mengerjakan ibadat termasuk haji dan umrah. Cuma mereka mesti bertaubat terlebih dahulu daripada kesalahan tersebut dan mengubah semula diri mereka menjadi lelaki yang sebenar dari segi berpakaian dan kelakuan.

“Ibadat umrah yang dikerjakan oleh seorang lelaki dalam keadaan berkelakuan dan berpakaian seperti wanita adalah tidak sah dan sia-sia sahaja. Malah boleh dianggap sebagai mempermain-mainkan ibadat. Perbuatan sebegini adalah berdosa,” katanya.

Memang jelas Islam melarang lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya.

Janganlah Jakim terus disajatkan.

 

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button