MahkamahNasional

Tangguh lagi kes perbicaraan Bung Moktar dan Zizie Izette

Pertuduhan rasuah, bersubahat berkaitan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta

PERBICARAAN Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette Samad kemungkinan ditangguh lagi.

Bung yang juga merupakan bekas Pengerusi Felcra dan Zizie, selebiriti tanah air dan juga aktres, diperintah membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat terhadap pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.

Peguam mereka, Teh See Khoon berkata, Mahkamah Rayuan tidak dapat menetapkan tarikh pendengaran untuk mendengar permohonan rayuan pasangan itu kerana Mahkamah Tinggi belum memuktamadkan rekod rayuan.

“Kami tidak boleh memfailkan petisyen rayuan tanpa penghakiman Mahkamah Tinggi dan nota prosiding,” kata Teh kepaa FMT selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Khairi Haron.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Fadly Zambry mewakili pihak pendakwaan.

Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 22 Mei ini.

Teh berkata, pihak-pihak juga akan memaklumkan perkembangan terbaru kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob yang sedang mendengar perbicaraan apabila kes itu disebut pada 27 Mac.

Bulan lalu, Rozina memperuntukkan 13 hari pada Jun dan Julai untuk Bung, Zizie dan empat lagi saksi pembelaan memberi keterangan.

Rozina berkata, beliau menetapkan tarikh itu memandangkan kes terbabit sudah lama tertangguh.

Beliau sebelum ini memberi tempoh 14 hari untuk meneruskan perbicaraan bermula 26 September tahun lepas selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.

Bagaimanapun perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana Mahkamah Tinggi menangguhkan semua prosiding sementara menunggu permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri.

Bung dan Zizie ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak usul mereka untuk semakan keputusan Rozina.

Hakim Azhar Abdul Hamid memutuskan mereka tersilap dalam memfailkan usul yang disokong oleh affidavit sambil berkata, pasangan itu hanya perlu menghantar surat kepada Mahkamah Tinggi meminta semakan.

Bung menghadapi dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Felcra.

Dia didakwa berbuat demikian untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi membuat pelaburan unit Public Mutual RM150 juta pada Jun 2015.

Zizie pula berhadapan dengan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya itu. – SM

BACA Bung Moktar dan isteri, Zizie Izette diarah bela diri tuduhan rasuah Felcra

BACA Bung Moktar dan isteri, Zizie Izette dibenarkan tangguh bicara kes rasuah

(Visited 144 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button