MahkamahNasional

Global Royalty Trading SAL mohon kes saman Rosmah diputus tanpa bicara

SYARIKAT barangan kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL memohon supaya kes saman terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan kembali 43 barangan kemas bernilai RM67.4 juta diputuskan melalui penghakiman terus.

Takrifan penghakiman terus ialah permohonan yang difailkan oleh pihak yang menuntut di mahkamah untuk mendapatkan penghakiman tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta kes terbabit atau undang-undang tidak dipertikaikan.

Syarikat terbabit memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melalui firma guaman, Tetuan David Gurupatham & Koay dan memohon perintah supaya barangan kemas itu dikembalikan dalam keadaan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Secara alternatif, Global Royalty selaku plaintif memohon Rosmah bertanggungjawab membayar kos barang bernilai RM67.4 juta jika barangan kemas berkenaan atau mana-mana bahagian daripadanya tidak boleh diperoleh semula dalam keadaan munasabah atau tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Sementara itu, Rosmah memohon supaya Global Royalty memberikan jaminan kos sebanyak USD1 juta (RM4.59 juta) kepada mahkamah dan memohon saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.

Rosmah berkata, jaminan kos itu perlu diberikan kerana jika beliau berjaya dalam penyataan pembelaannya berhubung tindakan saman itu.

Dan memperoleh kos terhadap syarikat terbabit, beliau akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos kerana Global Royalty sebuah syarikat asing.

“Plaintif adalah sebuah syarikat yang diperbadankan dan didaftarkan di Lubnan dan mempunyai alamat di Senno Building, Lubnan.

“Maka plaintif adalah sebuah syarikat asing di luar bidang kuasa mahkamah ini. Malaysia tidak mempunyai sebarang perjanjian timbal balik bagi penguatkuasaan penghakiman dengan (negara itu),” katanya.

Pada 29 Mac lalu, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, dan mendakwa wanita itu berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barangan kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Plaintif mendakwa defendan memperdayakannya dengan mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barangan kemas itu sebenarnya telah hilang.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk kesemua barangan kemas berkenaan berjumlah USD14.79 juta namun saman itu ditarik balik pada 2019. – SUMBER FMT – SM

BACA Bayangkan kalau Rosmah yang buat begini

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button