Ekonomi

Golongan VIP boleh tingkat kesedaran pemuliharaan alam sekitar

RCI jalin kerjasama dengan TWI Watches

RICHLIST Club Malaysia merupakan sebuah kelab mewah di Asia mengakui sedang menyusun strategi dalam usaha untuk menambah bilangan ahlinya tahun ini.

Presidennya, Diana Loo berkata, buat masa ini, kelab yang ditubuhkan pada tahun 2017 itu mempunyai keahlian seramai 80 orang di seluruh negara dan bercadang untuk menambah antara tiga ke lima kali ganda jumlah keahlian kelab.

Menurut Diana, misi itu akan dapat direalisasikan melalui kerjasama dengan TWI Watches, syarikat pembuat jam tangan berjenama.

“Seiring dengan rancangan TWI Watches yang akan membuka 30 cawangannya pada tahun ini, kami berhasrat untuk menambah lagi bilangan ahli di dalam kelab.

“Oleh yang demikian, kami berharap dengan usaha promosi secara berterusan, dapatlah menarik minat usahawan bumiputera yang cenderung kea rah gaya hidup mewah untuk tampil menjadi ahli kelab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara RCI dengan Maxi Wise Sdn. Bhd., di cawangan TWI Watches, Viva Home Shopping Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir,  Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Toh Puan Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil, Naib Presiden RCM, Datin Louis Loi, Penasihat Kelab RCM, Uzir Abdul Samad dan Penasihat Jenama TWI Watches bagi rantau Asia Pasifik, Peter Chen.

Mengulas lanjut, Diana berkata, terdapat tiga kategori keahlian yuran bermula pada RM30,000, RM300,000 manakala keahlian pada RM1 juta sehinggalah kepada RM3 juta adalah ahli seumur hidup.

Tambahnya, sebagai tanda penghargaan, setiap ahli yang mendaftar dengan nilai yuran antara RM1 juta hingga RM3 juta akan menerima seutas jam tangan mewah jenama TWI Watches.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama RCI dengan TWI Watches, beliau menerangkan, pihaknya mengutamakan perkhidmatan dan menawarkan pengalaman terbaik buat ahli kelabnya yang mahu memiliki jam tangan mewah di cawangan.

Ini kerana jam tangan jenama TWI Watches menjadi dambaan ramai disebabkan ia diperbuat daripada bahan yang berkualiti selain daripada bertatahkan berlian.

Berlian yang digunakan, jelas Diana, bukanlah berkualiti rendah.

Sementara itu, Shariffa Sabrina pula berkata, pihaknya berasa berbangga kerana sebuah kelab mewah seperti RCM mempunyai inisiatif untuk membantu Peka, sama-sama aktif dalam pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, tidak ramai golongan yang bergelar VIP mahu terlibat dalam kerja-kerja sosial. Apatah lagi, memelihara alam sekitar.

Ujarnya, melalui kerjasama sebegini, ia dapat meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan golongan mewah ini.

Sejajar dengan pemeteraian MoU tersebut, kutipan 10 peratus daripada yuran keahlian baharu kelab, RCM akan diserahkan kepada Peka.

Melalui sumbangan berkenaan, pertubuhan ini boleh menambah banyak lagi aktiviti untuk meneruskan usaha mereka dalam aspek pemuliharaan alam sekitar.

“Jika sebelum ini, golongan VIP lebih tertarik kepada aktiviti kepada kapal layar mewah sambil bercuti dan menghadiri jamuan-jamuan elit, kini beralih kepada aktiviti yang berkaitan dengan alam sekitar, flora dan fauna serta perhutanan.

“Ternyata berbeza tetapi ia bakal menawarkan satu pengalaman ‘mewah’ kepada VIP dengan menyedut udara segar, beriadah untuk mendapat manfaat kesihatan terbaik dan melihat sendiri keindahan ciptaan Tuhan di alam hutan,” katanya. – SM

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button