
Golongan pelajar perlu sentiasa mengamalkan nilai-nilai positif yang terbit daripada ilmu yang dipelajari – Raja Muda Perlis
“Ingatlah, masa depan negara bergantung sepenuhnya kepada generasi pelajar hari ini.
Lengkapkan diri dengan ilmu yang relevan, jadilah modal insan yang cemerlang dan berdaya saing demi menyumbang kepada kemajuan bangsa serta memartabatkan tanah air tercinta”.
“Anda semua merupakan aset berharga negara yang merupakan generasi yang bakal meneruskan kemakmuran negeri dan membina sebuah negara yang aman dan harmoni. Untuk mencapai kejayaan, sama ada dalam akademik atau kokurikulum, anda memerlukan strategi yang jelas dan kukuh. Ingatlah, kejayaan tidak datang dengan mudah tanpa usaha gigih dan pengorbanan yang besar”.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Nangka.
Turut berangkat mengiringi Baginda adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua sekolah berkenaan, Zulkifli Hashim.
Program bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ itu dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan pada kali ini melibatkan kehadiran seramai 211 orang pelajar lelaki dan 191 orang pelajar perempuan yang terdiri dari tingkatan 1 hingga 3.
Zulkifli Hashim dalam ucapan aluannya menyatakan, antara kejayaan yang menjadi sejarah manis sekolah ini ialah dua orang pelajar perempuannya telah berjaya mendapat semua A bagi 9 mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2022 dan mereka kini berada di IPGM Kampus Perlis dan IPGM Kampus Darul Aman.
Beliau turut menambah, pada tahun berikutnya, keputusan SPM 2023 sekali lagi mencatat kejayaan apabila seorang murid SMKGN mendapat 9A dan kini melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Perlis. Kejayaan ini memberi semangat kepada pelajar lain. Terbukti, dalam SPM 2024, tiga murid berjaya mendapat 8A. Beberapa mata pelajaran juga mencatat 100% lulus, termasuk Bahasa Melayu, Pendidikan Seni Visual, Reka Cipta, Perniagaan dan Sains Rumah Tangga.
Dalam bidang kokurikulum, murid Tingkatan 3, Muhammad Khairul I’rfan Muhammad Iqbal, telah menjuarai Golf MSSPs Bawah 15 Tahun Lelaki selama tiga tahun berturut-turut (2023, 2024, 2025) manakala pasukan RC Jet sekolah pula menjadi Naib Johan kategori Penerbangan dalam Pertandingan Jet Kawalan Jauh LADA Peringkat Kebangsaan 2024, serta Johan Reka Bentuk Terbaik sempena Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Perlis.
Pasukan Inovasi STEM sekolah tersebut turut meraih pingat emas pada tahun 2024 dengan inovasi bateri biojisim daripada hampas tebu sempena Minggu Sains Negara peringkat negeri. Sekolah ini juga mencipta kejayaan melalui Projek Eye Green Garden: Sistem Tanaman Fertigasi Automatik yang memenangi Tempat Pertama Kategori Sekolah Menengah dalam Showcase POPBL (Problem Oriented Project Based Learning).
Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda di akhir program turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian ‘Galeri De SiGN – The School’ yang diinspirasikan oleh konsep TS25 dan Aspirasi Perlis Leads, menampilkan integrasi pelbagai subjek melalui Modul Kefahaman Melalui Rekabentuk (KMR). Nilai utama yang diketengahkan termasuk ‘Limitless, Sincere, Respect, Learn, Arts, Digital dan STEMS’. Semua pameran dihasilkan sendiri oleh murid dengan bimbingan para guru.
FOTO