Politik

Golongan bergaji rendah dibiar terdedah Covid-19- Anwar

BUNYI seperti keterlaluan apabila kerajaan hanya membenarkan kakitangan peringkat pengurusan dan penyeliaan yang bergaji tinggi untuk bekerja dari rumah (BDR).

Sebaliknya 75 peratus lagi daripada 3.1 juta pekerja bergaji rendah yang berada dalam sektor operasi dibenarkan ke tempat kerja.

Tindakan sedemikian disifatkan tidak adil terhadap dasar penjagaan kesihatan awam apabila membiarkan majikan mewajibkan golongan tersebut terus bekerja.

Sedangkan mereka juga mempuyai risiko yang sama untuk terdedah dengan jangkitan penyakit pandemik Koronavirus (Covid-19).

Maka, kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam disifatkan tidak masuk akal dengan mengorbankan pekerja kolar biru.

“Arahan bekerja dari rumah baru baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah.

“Manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa.

“Bagaimana keributan ini dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru?

“Perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa.”

Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulas kenyataan MITI yang dikeluarkan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam.

Mohamed Azmin semalam memaklumkan hanya 776,135 pekerja diarahkan bekerja dari rumah merupakan mereka yang terdiri daripada pekerja ketegori pengurusan dan penyeliaan.

Dalam kenyataan sama, 10 peratus daripada jumlah tersebut dibenarkan untuk hadir ke pejabat selama empat jam, tiga hari seminggu urusan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan komunikasi teknologi maklumat (ICT).

Oleh demikian, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan arahan kerja dari rumah melibatkan sejumlah kecil pekerja itu tidak akan membantu kerajaan mencapai objektif.

Sebaliknya kira-kira 2.4 juta lagi pekerja dalam sektor pelaksanaan dan operasi perlu berada di tempat kerja seperti pejabat, kilang dan premis lain.

Justeru, beliau menyarankan supaya kerajaan melaksanakan dasar meyakinkan pembendungan wabak benar-benar dilaksanakan.

Jika tidak, ia kekal memberi kesan kepada ekonomi negara lebih-lebih lagi apabila moratorium tidak dilaksanakan sememangnya memerlukan pekerja hadir bekerja dan peniaga terus berniaga.

“Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut.

“Ia tidak membina keyakinan, samada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.

“Saya mengulangi gesaan saya agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman.

“Langkah ini sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut ini, yang dijangka akan berpanjangan,” gesanya.

Tambah beliau, meskipun aktiviti ekonomi dibenarkan, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetap memberi kesan kepada perniagaan terutama sektor peruncitan. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button