
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin juara Terbuka India tewaskan pemain Korea
PASANGAN beregu profesional nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta sejarah apabila muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka India sebentar tadi.
Mereka menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam perlawanan mendebarkan hingga tiga set.
Izzuddin-Sze Fein yang turun sebagai pilihan ketiga kejohanan bertaraf Super 750 itu, bangkit daripada tekanan untuk menewaskan Won Ho-Seung Jae dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-16 dalam tempoh 52 minit di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.
Kemenangan tersebut menjadi penawar duka pasangan profesional itu selepas mereka menampilkan aksi kurang memuaskan di Terbuka Malaysia minggu lalu, apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama kepada gandingan Denmark, Daniel Lungaard-Mads Vestergaard, 15-21, 21-9, 21-18.
Hasil kemenangan tersebut, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah bernilai AS$70,300 (kira-kira RM316,700), manakala pasangan Korea Selatan itu menerima AS$33,250 (RM149,836). – SM