Jenayah

Pemilik kilang disyaki cemar sungai disambung reman

Empat pemilik kilang yang dikaitkan dengan pencemaran Sungai Gong, Rawang hingga menyebabkan bekalan air terputus di Selangor dan Kuala Lumpur selama 7 hari disambung reman.

Kesemua suspek lelaki yang merupakan adik beradik itu direman lima hari lagi bermula esok bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan lanjut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan sebentar tadi.

Keempat-empat suspek telah ditahan sejak Sabtu lalu dan tempoh reman selama enam hari sepatutnya tamat hari ini.

Siasatan kes terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Polis menahan empat lelaki berusia 50 hingga 60 tahun itu dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam pada 5 September lalu.

Tujuh kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air terpaksa dihenti tugas selama tujuh hari bermula 3 September dan hanya pulih semalam.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Gangguan membabitkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang menjejaskan kira-kira 5 juta pengguna.-SM

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button