
GGR Motor Dan PMH MOTOR Sasar Pasaran Anak Muda Dengan EV Mesra Alam
DUNIA automotif tempatan bakal menyaksikan satu lagi detik penting apabila GGR Motor memperkenalkan motosikal elektrik (EV) generasi terbarunya dalam satu majlis pelancaran istimewa pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur. Usaha ini menjadi sebahagian daripada inisiatif Go Green Revolution, selari dengan hasrat memperluas penggunaan teknologi hijau di Malaysia.
Pelancaran tersebut direalisasikan dengan kerjasama strategik bersama Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd selaku pengedar sah utama. Majlis turut mendapat sokongan daripada agensi seperti MARA, dengan kehadiran Ketua Pengarahnya, Datuk Zulfikri Osman, sebagai tetamu kehormat.
Program yang dijadualkan berlangsung dari pagi hingga petang akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran EV, sesi jaringan media dan pelabur, serta persembahan komuniti. Pada sebelah malam pula, pengunjung akan disajikan dengan persembahan hiburan, sesi test ride, cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama selebriti yang turut menjadi pengguna EV.
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, usaha ini bukan sekadar pelancaran produk, tetapi platform memperkenalkan gaya hidup lestari dalam kalangan generasi muda.
“Kami mahu EV ini bukan sahaja dilihat sebagai alternatif mobiliti, tetapi sebagai simbol gaya hidup yang moden dan bertanggungjawab. Kehadiran artis dalam acara ini diharap mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat terhadap penggunaan EV,” katanya.
Antara selebriti yang dijangka memeriahkan acara termasuk Johan Raja Lawak, Cat Farish, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Bella Astillah. Johan turut diumumkan sebagai antara rakan kolaborasi utama dalam usaha membuka cawangan perniagaan bersama GGR Motor selepas pelancaran rasmi nanti.
“Saya rapat dengan Johan sejak 2017 dan kami sering berkongsi idea serta menjalin kerjasama sebelum ini. Dia bukan sekadar artis, tetapi individu yang berpengaruh dan mampu membawa nilai positif kepada jenama,” ujar Mussadiq.
Dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan, GGR Motor turut menaja dua unit LionG1 e-bike (bernilai RM2,054 seunit) sebagai hadiah untuk penonton bertuah di konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, 26 dan 27 Julai ini.
Strategi pemasaran GGR Motor sebelum ini pernah mencuri perhatian apabila memberikan hadiah skuter elektrik kepada Bella Astillah, yang pada ketika itu menjadi tumpuan media ekoran isu rumah tangga. Kejayaan kempen itu membuktikan kepentingan gabungan elemen hiburan dan inovasi dalam menjayakan agenda perubahan budaya.
“Kita bukan hanya menjual motosikal. Kita sedang memulakan gerakan perubahan gaya hidup. Kita mahu anak muda lihat EV bukan sebagai trend semata-mata, tetapi satu tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya lagi.
Bagi kemuncak acara, GGR Motor turut menyatakan hasrat untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi melancarkan secara rasmi motosikal elektrik ini.