Ekonomi

Pemulihan pasaran hartanah secara berperingkat dijangka pada 2022

PASARAN hartanah Malaysia dilihat semakin stabil dan dijangka mencatatkan pemulihan secara berperingkat pada separuh pertama 2022, menurut Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia 2022. Ini sejajar dengan tinjauan umum terhadap ekonomi Malaysia yang semakin baik, yang dijangka akan mencatatkan prestasi yang lebih baik pada tahun depan.

Tinjauan yang lebih baik dicerminkan oleh Indeks Harga Permintaan Hartanah PropertyGuru Malaysia terkini, yang mendapati aliran harga kembali menaik pada Q3 2021, menunjukkan bahawa sentimen bertambah baik seiring dengan kadar vaksinasi yang lebih tinggi, pembukaan semula aktiviti komersial dan kelonggaran persekitaran buat pengguna.

“Memandangkan pemulihan sektor hartanah dijangka mengikuti pemulihan ekonomi negara yang lebih memberangsangkan, kita mungkin akan melihat peningkatan secara berperingkat dalam persekitaran pasaran pada separuh pertama tahun depan, sebelum ia bertambah baik pada H2 2022,” kata Sheldon Fernandez, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia.

Sheldon Fernandez

Kajian dilakukan PropertyGuru DataSense, cabang analisis data dan penyelesaian PropertyGuru, mendapati bahawa aktiviti hartanah terus berlaku di Malaysia walaupun dalam persekitaran yang sangat mencabar, tetapi pada jumlah yang berkurangan.

Walaupun jumlah keseluruhan pembelian menurun secara mendadak dalam tempoh H2 2020 hingga H1 2021, harga median keseluruhan bagi pembelian hartanah sebenarnya meningkat sebanyak 8.5% – kenaikan harga tertinggi yang dicatatkan sejak H1 2016. Harga median yang terus meningkat walaupun kadar transaksi turun mendadak menunjukkan bahawa pembeli yang membeli hartanah dalam tempoh ini mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan keinginan terhadap hartanah berharga tinggi.

“Gabungan antara kadar faedah yang rendah, harga hartanah terus menurun, dan persekitaran banyak insentif menyediakan masa yang sesuai untuk pembeli yang berkemampuan untuk memasuki pasaran hartanah. Walaupun pada kemuncak sekatan pergerakan, keupayaan mereka untuk membuat keputusan pembelian telah dibantu oleh transformasi digital yang semakin diguna pakai oleh syarikat-syarikat hartanah, yang kini membolehkan proses pembelian menyeluruh buat pengguna,” kata Sheldon.

PropertyGuru berpendapat bahawa ia adalah masa yang sesuai buat pencari rumah yang ingin merebut peluang ketika harga rendah dan berada dalam aliran menaik serta mendapat manfaat daripada kadar faedah rendah yang sedang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, mereka dinasihatkan untuk mempertimbangkan kestabilan kewangan peribadi dan jaminan pekerjaan sebelum membuat komitmen kewangan jangka panjang.

Sheldon menambah, “Dengan harga yang bergerak positif pada suku akhir tahun, dan sentimen beransur-ansur bertambah baik, kemungkinan besar lebih ramai pembeli hartanah ingin menikmati potensi peningkatan harga pasaran sementara persekitaran kewangan masih menggalakkan. Ini adalah momentum yang dijangka meningkat dan berterusan sehingga ke tahun 2022,” kata Sheldon.

PropertyGuru juga berpendapat bahawa persekitaran semasa tidak sesuai untuk mereka yang ingin menjual hartanah untuk keuntungan yang lebih besar, kerana penjual menghadapi persaingan daripada lebihan hartanah baru dan tidak berpenghuni yang menyediakan pelbagai pilihan kepada pembeli. Namun begitu, sekiranya pasaran terus meningkat pada pertengahan 2022, hartanah yang terletak di lokasi bernilai tinggi dan berpusat boleh menyaksikan peningkatan harga tawaran yang memberangsangkan.

Trend pasaran hartanah Malaysia bagi tahun 2022

Melangkah ke hadapan, PropertyGuru meramalkan beberapa trend yang akan memberi kesan kepada sektor hartanah Malaysia pada tahun 2022. Antaranya termasuk:

  1. Pasaran yang stabil akan memulihkan minat pembeli: Sejak dua tahun lalu, COVID-19 telah mempengaruhi tingkah laku pembeli dan trend pasaran. Dengan kadar vaksinasi yang meningkat, PropertyGuru menjangkakan sentimen pengguna akan bertambah baik secara berperingkat di samping prospek jaminan pekerjaan yang lebih baik apabila negara terus pulih. harga positif yang dirakam pada H2 2021 meramalkan pasaran yang lebih stabil pada suku pertama 2022, walaupun terdapat isu ketidakpadanan harga yang dialami oleh sektor hartanah sebelum bermulanya pandemik.
  2. Persekitaran ekonomi yang lebih baik untuk pencari hartanah: Apabila perniagaan kembali dibuka pada kapasiti penuh selaras dengan Pelan Pemulihan Nasional, kestabilan ekonomi dan jaminan pekerjaan yang lebih baik untuk pengguna akan dapat dilihat pada tahun 2022, mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk individu menyambung semula rancangan pemilikan rumah. Pengumuman Bajet 2022 baru-baru ini turut menyaksikan pemansuhan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) ke atas rumah yang dijual pada tahun keenam dan seterusnya, yang akan membantu meliberalisasikan pasaran untuk pelabur dan pembeli rumah kedua.
  3. Dasar progresif bagi perubahan landskap: Berikutan pengumuman Bajet 2022, kerajaan merancang untuk melabur RM2bilion sebagai jaminan kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan, bertujuan membantu mereka yang berada dalam ekonomi gig. Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM1.5bilion akan disalurkan kepada program perumahan seperti Rumah Mesra Rakyat dan penyelenggaraan unit perumahan awam. Ini menggambarkan permulaan pendekatan yang lebih progresif dan inklusif dalam pembiayaan dan pemilikan rumah.
  4. Projek-projek mega yang sedang dijalankan untuk meningkatkan prospek masa depan: Oleh kerana projek-projek mega di negara ini terus dibangunkan, PropertyGuru meramalkan bahawa ia akan mewujudkan keterujaan dalam pasaran hartanah dan menambah nilai kepada segmen kediaman, komersial dan runcit. Ini termasuk infrastruktur penting seperti pelancaran Transit Aliran Massa 3 (MRT 3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
  5. Rumah teres kekal sebagai pilihan utama: Secara keseluruhan, rumah teres kekal sebagai jenis hartanah yang paling dicari di negara ini, mewakili jumlah terbesar hartanah yang dibeli oleh pembeli rumah pertama dan pelabur pada H1 2021, menurut kajian PropertyGuru DataSense. Pilihan tersebut telah dipengaruhi oleh pembatasan COVID-19 baru-baru ini kerana golongan profesional muda mencari lebih banyak ruang untuk mengimbangi gaya hidup dan keperluan kerja, terutamanya apabila bekerja dari rumah kini menjadi pilihan jangka panjang, seperti hasil dapatan Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia H2 2021.

Untuk maklumat lanjut tentang pelaburan / berita hartanah dan arah aliran makro yang akan memberi kesan kepada sektor hartanah pada tahun depan, sila lawati Tinjauan Pasaran Hartanah PropertyGuru 2022 yang lengkap di sini.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button