fbpx


Berita

Gerakan syiah di Selangor membimbangkan – MAIS

SHAH ALAM, 28 Jan — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyatakan gerakan ajaran Syiah di negeri ini dilihat semakin meluas dan membimbangkan.

Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata ia berikutan pihaknya mengesan wujudnya pertambahan pusat kegiatan bagi pengikut ajaran Syiah di sekitar Selangor.

“Dari semasa ke semasa, ajaran Syiah dilihat semakin kuat dan makin bercambah.

“Sekiranya dahulu mungkin kita kesan hanya dua atau tiga pusat kegiatan (ajaran Syiah) sahaja di Selangor, tetapi sekarang ini, ia telah bertambah mungkin ada 14 ke 15 (pusat) di beberapa tempat seperti Puchong, Gombak dan Klang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Peguam Syarie kepada 47 peguam di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor Datuk Mohamad Adib Husain.

Mengulas lanjut, Mohammed Khusrin berkata pihaknya percaya pertambahan bilangan kumpulan dan pengikut Syiah itu ekoran wujudnya bantuan daripada pihak tertentu untuk mengembangkan kegiatan dan aktiviti seperti pada hari-hari tertentu mereka mengadakan sambutan bagi ajaran itu.


“… dan penyebaran ajaran Syiah dalam media sosial juga menjadi satu cabaran kepada kita untuk mengekangnya dan yang turut menjadi kesukaran bagi kita adalah sebab pengikut ajaran ini sukar dikesan kerana mereka ini tidak akan mengaku mereka (mengamalkan) ajaran Syiah selain amalan mereka juga tidak banyak berbeza daripada kita yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Justeru katanya, MAIS dan agensi berkaitan di negeri ini akan terus mempergiatkan usaha memantau gerakan ajaran Syiah selain pada masa sama, memberi penerangan tentang bahaya ajaran itu kepada orang ramai terutama di sekolah dan masjid di seluruh Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Khusrin menggalakkan umat Islam di negeri ini mengadakan solat hajat dan doa selamat susulan penularan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.

“Tiada arahan rasmi dikeluarkan untuk mengadakan solat hajat tetapi kita galakkan untuk umat Islam melakukan solat tersebut.

“… dan beberapa masjid di Selangor juga telah pun mula mengadakan solat hajat memohon kepada Allah S.W.T supaya kita dilindungi dari wabak penyakit itu,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah S.W.T agar memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button