Ekonomi

Bank Rakyat bersama pelbagai agensi berjaya kumpul dana wakaf dan sedekah lebih RM 3.1 juta

BANK RAKYAT menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi berjaya mengumpul dana wakaf dan sedekah sebanyak RM3.1 juta sejak 2018 yang mana akan dimanfaatkan bagi tujuan kemaslahatan ummah serta komuniti Islam yang memerlukan.

Bank Rakyat baru-baru ini juga telah mengadakan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Dana Wakaf Tunai dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mana dilihat dapat membantu universiti tersebut mengurangkan kebergantungan kepada geran Kerajaan.

Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat akan membantu UKM mempromosi, mengumpul dan bersama-sama mengurus serta mentadbir dana wakaf tunai yang diterima. Sumbangan dana yang diterima akan dilaburkan dalam instrumen pelaburan berasaskan syariah yang mana kemudiannya hasil dan manfaat yang diterima daripada pelaburan akan diagihkan kepada warga universiti berkenaan.

Selain itu, inisiatif ini merupakan salah satu usaha Bank Rakyat untuk memartabatkan wakaf sebagai instrumen kewangan yang boleh memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara, di samping dapat membantu universiti mempromosikan, mengumpulkan dan bersama-sama mengurus serta mentadbir dana wakaf yang dikumpul.

Usaha ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Bank Rakyat dalam mendorong pembangunan Keluarga Malaysia yang mampan dan adil, selaras dengan visi Bank untuk menjadi Bank Koperasi Islam Progresif No. 1 di Malaysia.

Sebelum ini juga, Bank Rakyat telah menandatangani Perjanjian Usahasama Dana Wakaf bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu serta menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.

Menerusi kerjasama strategik ini, Bank Rakyat berharap agar institusi wakaf dapat mengambil manfaat melalui aspek tadbir urus, akauntabiliti dan transparensi dunia korporat terutamanya dari segi pengumpulan, penyaluran serta pelaburan dana.

Menjadi harapan Bank Rakyat juga agar kerjasama antara institusi wakaf, institusi perbankan Islam dan sektor korporat secara tidak langsung dapat memupuk imej positif dalam pengurusan wakaf yang seterusnya akan menambahkan keyakinan masyarakat terhadap institusi wakaf. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat anjur aktiviti plogging dan pembersihan kawasan pantai

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button