Sukan

Kejohanan Woodball Piala Dunia tarik penyertaan 23 buah negara

Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) Perlis 2020 dijangka mengamit penyertaan 23 buah negara pada tahun hadapan. Ia bakal berlangsung pada 24-30JUL 2020.

Pihak Persatuan Woodball Negeri Perlis mensasarkan 3,000 orang pemain dan pegawai akan terlibat di dalam WCWC Perlis 2020 serta pertandingan-pertandingan lain yang dianjurkan sepanjang minggu yang mengambil kira bersempena bulan Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-77.

Turut dirancang untuk diadakan pada masa yang sama bagi memeriahkan lagi WCWC Perlis 2020 ialah ‘Invitation World University Woodball Championship’, ‘Woodball Malaysia Open Championship’ dan ‘Woodball Perlis Open Championship’.

Turut bakal dilaksanakan ialah aktiviti-aktiviti lain seperti Kejohanan Remaja Bawah 12, 15 dan 18 anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, ‘Matriculation Challenge’, ‘IPG Challenge’ dan lain-lain bagi memeriahkan lagi minggu woodball tersebut.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan kempen ‘Promosi Masakan Perlis’ yang diadakan di Baan Thai Cuisine Restaurant di Tiblisi, Georgia baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pemilik restoran berkenaan Lomang Carasso.

Untuk tempoh selama dua minggu, ‘Kurma Ayam Perlis’ akan disajikan di dalam menu khas restoran berkenaan. Pada bulan Ramadan tahun lalu kurma ayam Perlis turut pernah ditawarkan dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MH) dalam beberapa sektor utamanya dan mendapat sambutan yang amat baik sekali.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad dan Pengurus Besar BMC Travel Sdn Bhd, Philip Fang.

Program promosi masakan Perlis ini adalah anjuran UniMAP bersama restoran itu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan BMC Travel Sdn Bhd.

Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan juga Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis turut menambah bahawa statistik menunjukkan 8 daripada 10 negara yang mencatatkan jumlah kehadiran pelancong tertinggi ke Malaysia merupakan negara-negara yang sinonim dengan woodball. Oleh itu, woodball turut berpotensi dijadikan satu produk pelancongan baharu di negara ini.

Difahamkan ada terdapat lebih daripada 20 laman woodball di seluruh Malaysia khususnya di Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan yang terkini di Kelantan dan Putrajaya yang mampu memberikan pengalaman unik kepada para pelancong.

Dari perspektif yang lebih luas, dengan adanya program dan fasiliti sebegini, usaha menggilap bakat baharu untuk diketengahkan di persada dunia akan menjadi lebih mudah untuk negara ini. Ketika ini, Malaysia merupakan antara cabaran utama dalam kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa.

Untuk rekod, di negeri Perlis sendiri kini sudahpun mempunyai 7 buah laman woodball yang tetap iaitu di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP di Pauh Putra (24 fairways), Komplekas Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Perlis, Arau (24), Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar (12), Kolej Matrikulasi Perlis, Arau (24), IPG Kampus Perlis, Padang Behor (24) serta dua gelanggang simpanan iaitu di Jabatan Kastam (12) dan terbaharu Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Bukit Bintang 1 (36).

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button