Nasional

Geng Tiban aktif curi duit tabung derma akhirnya kecundang

Lima lelaki ditahan sekaligus berjaya melumpuhkan kumpulan jenayah dikenali sebagai Geng Tiban yang aktif dalam kes pecah pejabat dan curi tabung derma.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan berkaitan kes pecah pejabat di Hata Square, Jalan Mewah 1/3 Pandan pada 28 Oktober lalu.

“Pengadu memberitahu pintu pagar dan pintu utama pejabatnya telah diumpil. Terdapat beberapa barangan yang hilang seperti wang tunai, telefon bimbit dan pelbagai peralatan pejabat,” katanya dalam satu kenyataan hari  ini.

Menurut Mohamad Farouk, susulan laporan tersebut, pihaknya berjaya menahan lima lelaki di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 36 tahun dan tidak bekerja.

“Ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Meth. Kesemua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau.

“Selain tangkapan, kita turut merampas sejumlah mesin pencetak, decoder kamera litar tertutup (CCTV), wang tunai dan pelbagai peralatan pejabat yang lain,” ujarnya.

Mohamad Farouk memberitahu, siasatan awal mendapati kumpulan ini telah melakukan tiga kes pecah pejabat dan tiga kes curi tabung derma.

Tambahnya, kesemua suspek direman sehingga 6 November depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -SM

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button