Luar Negara

Kes Covid-19 bakal meningkat tiga kali ganda di Thailand

Ramalan peningkatan selepas cuti Pesta Songkran (Tahun Baharu Thailand)

THAILAND kemungkinan besar menyaksikan peningkatan kes Covid-19 dua atau tiga kali ganda selepas cuti Songkran. Ini kerana ramai yang didapati engkar dan tidak akur dengan langkah pencegahan Covid-19 pada hari pertama Tahun Baharu Thailand, Songkran, kelmarin.

Seorang pakar perubatan, Prof. Madya Dr. Thira Woratanarat dari Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn menyuarakan kebimbangannya berikutan laporan media mengenai pelancong dan penduduk tempatan mengabaikan langkah pencegahan Covid-19.

Ini termasuk menyertai pesta air jalanan, berhibur dan minum di tempat yang sesak dengan orang ramai.

Woratanarat berkata, perbuatan itu akan mencetuskan satu lagi wabak kerana mempunyai semua faktor penyumbang kepada penularan pantas Covid-19.

“Tahun lalu, jumlah kes harian Covid-19 meningkat dua hingga tiga kali ganda selepas cuti Songkran. Kami menjangkakan keadaan yang sama tahun ini.

“Impaknya tidak berakhir di situ. Jumlah kes Covid-19 akan berganda lagi dalam masa sebulan,” kata Woratanarat dalam akaun Facebooknya.

Beliau berkata, masih belum terlambat untuk mencegah peningkatan kes selagi tindakan tegas diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Setakat semalam, Thailand mencatatkan 24,134 kes baharu Covid-19 dengan 115 kematian menjadikan jumlah jangkitan dalam negara gajah putih itu kepada 3,973,003 dan 26,510 kematian setakat ini.

Bagi mengekang penularan Covid-19, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengenakan larangan simbahan air tradisional di sepanjang jalan sepanjang sambutan Songkran tahun ini.

Meskipun berulang kali diberi amaran tentang ‘Songkran tanpa air’, pelancong dan penduduk tempatan berpusu-pusu pergi ke Khaosan Road di Bangkok dan Patong Walking Street di Phuket semalam untuk ‘pertempuran air jalanan’.

Semalam, polis, anggota tentera dan pegawai majlis tempatan ditempatkan di Jalan Khaosan. Selain itu, pusat pemeriksaan juga disediakan untuk mengelak orang ramai mengingkari larangan itu.

Media tempatan melaporkan, pegawai perbandaran dari Pejabat Daerah Phra Nakhon mengarahkan semua perniagaan di sepanjang Jalan Khaosan tidak membenarkan pelancong menyimbah air dan menyimpan semua baldi ais.

Mereka yang mengingkari perintah itu akan dikenakan denda 100,000 baht, lapor PBS Thai.

Sementara itu, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelancong dan orang ramai yang mengingkari larangan menyimbah air di Bangkok serta di Phuket.

Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Prayuth mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengendalikan perkara itu dengan segera. – SM

(Visited 301 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button