Politik

Gencatan senjata bukan bermakna perang tamat

SEMUA parti di dalam Perikatan Nasional iaitu UMNO, Pas dan Bersatu serta pengikut serpihan PKR masing-masing meletakkan senjata.

Para panglima perang kini kembali ke kubu masing-masing selepas bertempur berhempas-pulas.

Mangsanya tentulah orang awam yang tidak berdosa yang dilanda keresahan dan kesusahan.

Syukurlah akhirnya mereka bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata walaupun agak terlambat kerana pandemik Covid-19 yang sudah dilandaikan keluk penularannya tiba-tiba meroket naik.

Ekonomi yang merangkak naik, kembali tersembam menyembah bumi dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membataskan pergerakan orang ramai, selain kebimbangan penularan wabak yang tidak surut memaksa kerajaan melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD).

Syukur juga kerana situasi getir menyebabkan orang politik segera bersetuju untuk melaksanakan gencatan politik, jikalau tidak luluh-lantak negara dibuatnya.

Saya yakin selepas ini akan ada rombakan kabinet bagi memastikan janji yang dipersetujui dilaksanakan bagi memberi peranan yang lebih besar kepada UMNO khususnya di dalam kerajaan kerana selayaknya mempunyai jumlah kerusi paling banyak berbanding yang lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi jawatan sewajarnya iaitu Timbalan Perdana Menteri dan alasan sedang berdepan dengan kes mahkamah tidak lagi relevan kerana Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, walaupun terdapat kes mahkamah yang berkaitan beliau.

Yang penting kini Ahmad Zahid akan mengimbang kuasa dan tidak terlalu berpusat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Usaha melemahkan UMNO dengan taktik memancing ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri yang lemah semangat UMNOnya untuk melompat juga dihentikan.

Bermakna jika berlaku lagi perbuatan jelik itu perang sukar dielakkan sekali lagi.

Bagaimanapun janganlah terlalu mengharapkan keajaiban akan berlaku, kerana selepas runtuh kerajaan Barisan Nasional (BN) negara kini sedang dalam proses mencari titik keseimbangannya dalam berpolitik dan ia akan mengambil masa yang lebih lama mungkin puluhan tahun, sehingga pemikiran orang politik dan masyarakat memasuki fasa yang lebih matang.

Sementara itu semua perlu menelan hakikat perlu hidup dalam keadaan politik yang terumbang-ambing untuk tempoh yang lebih panjang sehingga kaedah serta sistem berpolitik lebih mantap ditemui.

Moga gencatan politik ini turut dilaksanakan di pihak pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika ini dipersetujui barulah negara akan aman seketika dan tumpuan diberi bagi memerangi musuh nyata iaitu Covid-19. – SM

(Visited 261 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button