fbpx
Politik
Trending

Gencatan politik: Usul undi tidak percaya mungkin tiada

PELAKSANAAN gencatan politik yang diambil oleh UMNO memberi gambaran tiada perkara menarik akan berlaku pada Sidang Dewan Rakyat pada 2 November nanti.

Bermakna, kemungkinan besar tiada soal usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi isu utama dalam sidang tersebut.

Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga menggesa gencatan politik dengan memberi dokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Maka, tiada isu pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan akan dibangkitkan oleh pihak UMNO.

Walaupun persoalan usul undi tidak percaya pernah diutarakan oleh Pengerusi Lembaga Penasihatnya, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah.


“Saya menjangkakan pada 2 November ini pun tiada apa-apa yang berlaku.

“Tidak akan berlaku sesuatu yang besarlah, kerana sudah pasti akan ada pertimbangan-pertimbangan (gencatan politik dan dokongan kepada kerajaan PN).

“Gencatan politik ini sudah pastilah kita tahu bahawa sekarang ini memang ada usaha untuk menghentikan pembulian dan penganiayaan yang dilakukan oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Jadi, saya lihat gencatan politik yang dilakukan oleh Ahmad Zahid  sudah pastilah merujuk kepada usaha untuk menarik diri daripada kerajaan PN.

“Sementara kita berhadapan dengan Covid-19, maka saya rasa apa yang beliau kata gencatan politik itu maknanya macam gencatan senjata.

“Maknanya kedua-dua pihak berhenti daripada menyerang satu sama lain termasuklah sebarang usaha menukar kerajaan.

“Jadi, kalau benda ini berlaku saya tiada komen, saya rasa itu mungkin atas pertimbangan mereka untuk sementara waktu bagi memastikan negara ini dapat kita fokus berhadapan dengan Covid-19.”

Demikian kata Presiden Persatuan Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam dalam satu kenyataannya menerusi video yang dimuatnaik dalam Facebook malam tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO mengambil langkah melaksanakan gencatan politik supaya fokus dibeikan kepada masalah rakyat seperti Covid-19 dan impak ekonomi.

Dalam memberikan tumpuan tersebut, beliau juga menyatakan UMNO mendokong kerajaan PN dan kerjasama parti akan diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik.

Bagaimanapun, Lokman Adam dalam video sama mendesak supaya gencatan politik tidak dilakukan oleh UMNO sahaja, sebaliknya perlu mendapat sokongan daripada parti lain.

Justeru, semua pihak digesa menerima keputusan yang diambil oleh UMNO, namun beliau turut mengingatkan parti itu supaya tidak lupa kepada matlamat asal.

“Tetapi, janganlah sebelah pihak UMNO sahaja yang gencat senjata, kena adillah.

“Kalau misalannya UMNO gencat senjata, geng-geng Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ini masih balun UMNO macam biasa, maka itu bukan gencat senjata namanya. Kalau kita terus diam, tak cerdiklah kita.

“Suka tak suka kita terpaksa terima hakikat bahawa kita kena titik beratkan tentang soal Covid-19 lebih daripada menukar kerajaan.

“Kerana kalau kerajaan itu ditukar, barisan Kabinet pun akan ditukar jadi, apa yang telah dirancang oleh kerajaan hari ini, sedikit sebanyak terpaksa ditetapkan semula dengan polisi baharu oleh orang baharu, Menteri baharu.

“Bagi saya, kita kena terima keputusan yang diambil, tetapi kena pastikan bahawa keputusan ini adalah sementara.

“Kita harap, sebaik sahaja Covid-19 ini selesai, mesti ada penyelesaian yang tuntas bagi kita pastikan senario politik negara akan lebih stabil dengan pembubaran Parlimen dengan pilihan raya baharu,” jelasnya. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button