Berita

Gegaran Latihan Udara LIMA’25: Penduduk Dakwa Rumah Rosak, MINDEF Ambil Tindakan

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) mengambil maklum mengenai aduan beberapa penduduk di Langkawi yang mendakwa mengalami kerosakan rumah dipercayai berpunca daripada latihan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Antara kerosakan yang dilaporkan termasuklah tingkap rumah pecah, siling runtuh serta struktur kediaman yang terjejas akibat gegaran kuat daripada latihan jet pejuang yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan segera sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menentukan bentuk tindakan susulan yang wajar diambil.

“Kita sedang meneliti aduan yang tular di media sosial dan akan menyiasat secara menyeluruh. Sebarang kerosakan yang berlaku akan diteliti dari pelbagai aspek,” katanya.

Video dan gambar keadaan rumah yang rosak mula tersebar di media sosial sejak hujung minggu lalu, menyebabkan penduduk meluahkan rasa bimbang dan tidak selesa dengan impak latihan tersebut.

Susulan itu, beberapa pegawai yang hadir meninjau lokasi turut menasihatkan agar penduduk membuka tingkap rumah dan kereta sepanjang tempoh pertunjukan udara berlangsung bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat tekanan udara yang kuat.

Sebagai langkah seterusnya, MINDEF menyediakan kemudahan aduan rasmi menerusi Sistem Aduan Integriti yang boleh diakses di laman web aduanintegriti.mod.gov.my.

LIMA’25 dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025, dan bakal menghimpunkan pelbagai aset dan teknologi pertahanan dari dalam dan luar negara, termasuk pertunjukan udara oleh pesawat tempur serta helikopter pelbagai kegunaan.

Pameran dwi-tahunan itu dijangka menarik ribuan pengunjung domestik dan antarabangsa ke pulau pelancongan terkenal ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button