Nasionalpilihan

KDN tidak akan berkompromi dengan kenyataan menghina Agong

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang Di-Pertuan Agong dan Institusi Diraja.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbuatan tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.
“Berikutan itu, pemilik akaun FB Iswardy Morni yang dipercayai mengeluarkan kenyataan yang mempersenda serta menghina Yang Di-Pertuan Agong telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peruntukan Seksen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.
“Selain siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM juga sedang menyiasat individu tersebut bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Menurut Hamzah, pihaknya turut meminta supaya polis  memantau serta mengambil tindakan yang lebih tegas dan pantas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti ini demi memastikan Institusi Diraja, kedaulatan undang- undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

Semalam, Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menerusi video secara langsung dalam laman rasmi YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar memaklumkan, individu berusia 40-an itu ditahan di kediamannya di Kajang, Selangor.

“Suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada kira-kira pukul 11 malam.

“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek esok bagi siasatan lanjut,” katanya. -SM

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button