
Gaza masih perlukan sokongan berterusan semua pihak – Nurul Izzah
GAZA masih memerlukan sokongan berterusan semua pihak walaupun gencatan senjata telah diumumkan kata Nurul Izzah Anwar.
Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) itu berkata, pengumuman gencatan senjata di Gaza memberikan harapan baharu untuk keamanan dan kestabilan di wilayah berkonflik itu.
“Pengumuman gencatan senjata ini memberikan sinar harapan baharu, membuka ruang untuk proses pemulihan dan pembinaan semula dimulakan tanpa berlengah.
“Ini bukan hanya detik untuk berdiam diri, tetapi juga peluang menuntut keamanan yang sebenar dan berpanjangan bagi satu keamanan yang mana pendudukan berakhir, nyawa Palestin tidak lagi menjadi angka statistik dan keadilan tertegak,” katanya.
Peperangan Israel di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 46,707 rakyat Palestin dan mencederakan 110,265 sejak 7 Oktober 2023.
Sementara itu menerusi kenyataan sama, Presiden MAHAR Jismi Johari berkata, pihaknya kekal teguh dalam komitmen menyampaikan bantuan kritikal kepada mereka yang terjejas akibat krisis ini.
“Kami akan terus berdiri bersama rakyat Gaza untuk memastikan mereka menerima sokongan yang sangat diperlukan dalam tempoh kritikal ini,” katanya. – SM