Sukan

Gate Woodball pertama di dunia di atas tasik

‘Gate Woodball Pertama Di Dunia Di Atas Tasik’ menjadi tarikan baru paling menarik di kalangan para pemain woodball yang mencuba bermain di laman woodball yang baru dibuka kepada orang ramai di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra Perlis.

Demikian dimaklumkan oleh Pengarah PTSS Perlis, Abdul Malek Hassan di majlis perasmian ‘Laman Woodball Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis’ yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) disambut oleh Abdul Malek dan Timbalan Presiden PWNPs, Zaharin Haris.

Hadir sama ialah Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS) Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail yang juga adalah merupakan seorang bekas Pengarah PTSS sebelum ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Hj Izmi Ismail dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman.

Baginda menitahkan bahawa sukan woodball memberikan intipati yang positif kepada para individu khususnya kepada pelajar di mana seseorang pemain akan diajar dan dilatih mengenali teknik dan bagaimana untuk lebih fokus mencapai kemenangan. Justeru, secara tidak langsung ia membantu pelajar untuk mengenali kelemahan, belajar mengatasi dan memperbaiki serta terus fokus terutamanya dalam pengajian masing-masing.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, woodball juga ialah sebagai ‘terapi’ bagi menenangkan diri dan meningkatkan kecergasan minda serta tubuh badan serta dengan melakukan aktiviti fizikal atau riadah bersama-sama rakan, kakitangan dan keluarga seperti permainan woodball yang semestinya melibatkan pergerakan badan, hayunan tangan dan berjalan ini membantu melancarkan lagi peredaran darah, meredakan stres, megeratkan integrasi sosial serta membudayakan kehidupan sihat melalui sukan.

Terdahulu turut diadakan di dalam kampus PTSS ialah aktiviti gotong royong membersihkan kawasan bersempena ‘World Cleanup Day 2020’ melibatkan lebih 1000 orang pelajar dan tenaga kerja PTSS bagi menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda supaya ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’.

(Visited 573 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button