Ekonomi

MYAirline gantung operasinya berkuat kuasa hari ini

SYARIKAT penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Menurut kenyataan itu lagi, syarikat itu turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.

“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.

“Kami sekali lagi mengulangi permohonan maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” menurut kenyataan itu.

Pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh menghubungi [email protected] untuk mendapatkan bantuan sokongan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam enggan mengulas ketika ditanya berhubung ura-ura peralihan pemilikan membabitkan MYAirline Sdn Bhd.

“Saya tidak tahu sama ada mereka mahu jual atau apa pun kerana mereka belum lapor pada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Mereka harus datang kepada kita (jika ada masalah) baru kita lihat apa masalah dan kita akan cuba bantu.

“Kalau ada pertukaran pemegang saham atau sebagainya mereka perlu lapor pada Mavcom tetapi setakat ini tiada, jadi saya tak mahu komen,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) semalam.

Sebelum ini, media melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi menyelesaikan masalah kewangan yang melanda MYAirline.

Perkara itu susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo yang berkuat kuasa 7 Okt 2023 atas sebab kesihatan. – SM

Artikel berkaitan > Kerajaan perluas bantuan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar politeknik, Kolej Komuniti

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button