JenayahNasionalNegeri

Seludup PATI: Tiga dari Geng Bang Sun, Along Lubok ditahan

PADANG BESAR bukan hub Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), tegas Ketua Polis Daerah Padang Besar, Assisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah.

Sekaligus individu yang terlibat dalam sindiket membawa masuk PATI ke negara ini sejak dua bulan lalu iaitu Geng Bang Sun dan Geng Along Lubok telah ditahan dan bakinya kini giat diburu.

Mohd Shokri menunjukkan bonet kereta Honda sebagai tempat persembunyian seorang PATI.

Mohd Shokri berkata, seorang tekong Geng Bang Su berusia 41 tahun yang merupakan warga tempatan telah ditahan pada pukul 11 malam, 21 Julai lalu di Jalan Kubang Menerong, Titi Tinggi, Padang Besar.

Beliau berkata, manakala dua Geng Along Lubok iaitu warga tempatan sebagai suspek kedua berusia 39 dan suspek ketiga berusia 37 tahun ditahan di sebuah homestay di Padang Melangit pada pukul 1 pagi, 24 Julai lalu.

Katanya, suspek berusia 39 tahun yang pernah menjadi tukang urut itu dipercayai “mastermind” kerana mempunyai hubungan berkaitan sindiket dengan negara jiran.

Tambahnya, suspek berusia 37 tahun itu pula sebagai “transporter” dengan mengambil upah RM100 untuk setiap PATI.

Katanya, ketiga suspek ini telah ditahan reman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas ) 2012 (SOSMA).

Mohd Shokri pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar memberitahu, penahanan suspek pertama itu adalah hasil rondaan dan pemantauan oleh enam anggota Kompeni D Batalion 2 Polis Gerakan Am (PGA) pada pukul 11 malam, 21 Julai lalu.

“Pasukan ini telah terserempak dengan sebuah kereta Honda FB warna putih, sebuah kereta Persona merah dan sebuah motosikal EX5 biru gelap di Jalan Kubang Menerong, Titi Tinggi, Padang Besar,” katanya.

Hasil pemeriksaan katanya, suspek pertama yang memandu kereta Honda berjaya ditahan dan seorang PATI ditemui bersembunyi dalam bonet kereta tersebut.

Beliau berkata, pemandu kereta Persona dan penunggang motosikal melarikan diri ke dalam semak.

“Di dalam kereta Persona pula terdapat lapan PATI yang berusia 21 tahun hingga 46 tahun juga telah ditahan,” katanya.

Beliau berkata, setiap PATI ini dikenakan bayaran RM7,000 seorang dan upah RM200 lagi kepada ketua yang membawa masuk ke negara ini.

Mohd Shokri berkata, penahanan dua suspek Geng Along Lubok pula hasil Ops Pintas Kayang Padang Besar pada pukul 11.30 malam pada 24 Julai.

Mohd Shokri menunjukkan gambar tangkapan suspek dan PATI di IPD Padang Besar

Katanya, pada operasi itu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JAJ) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar dan Balai Polis Kaki Bukit yang melibatkan empat pegawai kanan dan 25 anggota telah menahan tiga lelaki dan enam perempuan.

Katanya, ia melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai juru pandu manakala selebihnya dua lelaki dan enam perempuan PATI yang berusia 30 hingga 46 tahun.

“PATI ini yang bersembunyi di dalam semak pada laluan ke View Point Wang Kelian cuba melarikan diri dan bertindak agresif setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, kesemua PATI bagi dua kes tangkapan ini ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan jika disabitkan salah membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun atau denda dan siasatan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button