Politik

Momentum terbaik BN kembali berkuasa

Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan rakyat lebih yakin terhadap BN untuk kembali memerintah negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi BN Parlimen Bakri, Datuk Mohd. Fuad Tukirin berkata, keyakinan rakyat terhadap BN bukan sahaja dinilai pada PRN Johor tetapi juga pada tujuh kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini dan kemenangan besar di PRN Melaka.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan suasana politik pada PRU-14 jauh berbeza berbanding ketika ini ketika semua parti sedang menanti kedatangan PRU-15 yang difahamkan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Suasana di Johor jauh berbeza sekarang ini, bayangkan BN mampu menang 40 daripada 56 kerusi. Ini membuktikan rakyat sudah kembali ke pangkal jalan dan percaya terhadap BN semula.

“Bagi PRU-15, peluang Johor untuk menang besar daripada 26 Parlimen yang akan ditandingi adalah cerah. Walaupun pada PRU-14 kita menang lapan kerusi namun kali ini kita mampu menyamai pencapaian 20 kerusi pada PRU-13.

“Saya begitu yakin Johor mampu menyumbang lebih daripada lapan kerusi pada PRU-15 nanti. Ini bukan sekadar keyakinan semata-mata tetapi berdasarkan kecenderungan rakyat sudah kembali yakin terhadap BN,” ujarnya.

Mohd. Fuad yang juga Ketua UMNO Bahagian Bakri berkata, walaupun UMNO dan BN menang besar dalam PRN Johor tidak semestinya mereka harus mengambil mudah dan bersikap sambil lewa menghadapi PRU-15 yang semakin hampir.

Menurutnya, adalah sangat penting untuk BN kembali mendapat mandat daripada rakyat bagi membentuk semula kerajaan Pusat yang terlepas daripada genggaman bagi memulihkan kestabilan politik seterusnya menyakinkan kembali pelabur melabur di negara ini.

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa UMNO dan BN sudah memerintah serta mentadbir negeri ini. Justeru kita tidak mahu berlaku kerencatan disebabkan kita kalah di peringkat pusat.

“Ini akan menjadi antara faktor utama di dalam menyumbang kepada keberkesanan kerajaan khususnya dari segi memberi perkhidmatan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita tidak boleh memandang mudah PRU-15 begitu sahaja sebagaimana saya nyatakan, semangat dan keazaman kita adalah untuk memastikan kerajaan negeri dan kerajaan pusat ditadbir oleh BN,” ujarnya.

Beliau berkata, mereka harus membuktikan bahawa kesemua 40 kerusi yang disandang oleh UMNO dan BN pada PRN lalu adalah pilihan rakyat yang terbaik.

Tambah Mohd. Fuad, kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada waktu ini lebih menumpukan usaha memastikan rakyat tidak merasa terkilan menyokong dan memilih BN.

“Kami di negeri Johor lebih menumpukan kepada usaha mengurus dan merealisasikan mandat rakyat dalam menitik beratkan permasalahan rakyat dalam menghadapi kos sara hidup kini,” ujarnya. – SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button