Mahkamah

Gara-gara minta RM6,000, bekas Ketua Balai Polis Tengkera didenda RM6,500

Bekas Ketua Balai Polis Tengkera didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima wang berjumlah RM6,000 sebagai dorongan membantu sebuah premis hiburan dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, menerima wang tersebut bagi membantu pemilik premis berkenaan daripada dikenakan tindakan selepas melanggar larangan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Sub-Inspektor telah mendapatkan untuknya sesuatu benda berharga iaitu wang tunai sebanyak RM6,000 tanpa balasan daripada Hang Kah Joon yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dengannya.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.00 hingga 6.15 petang di bilik pejabat di Balai Polis Tengkera dalam daerah Melaka tengah pada 11 Ogos 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua lagi anggota polis ketika sedang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Kota Shahbandar telah memeriksa sebuah premis yang ketika itu sedang mengadakan majlis perasmian pembukaan.

Kim Yun kemudian dimaklumkan oleh tertuduh premis itu telah melanggari tatacara Prosedur

Operasi Standard (SOP) ketika PKP yang berkuatkuasa pada masa itu termasuk mengadakan persembahan liveband’.

Tertuduh kemudiannya telah meminta daripada mereka wang berjumlah RM6,000 sebagai balasan bagi bantuannya sebelum Kah Joon dan Kim Yun menyerahkan wang berkenaan kepada tertuduh di pejabatnya pada 11 Ogos 2020.

Abdul Halim kemudiannya telah ditangkap anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari yang sama.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum tanpa penjara kerana telah menyesal atas kesalahan pertama dilakukannya selama 41 tahun berkhidmat dalam PDRM selain akan bersara tidak lama lagi.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah bagaimanapun meminta hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam selain kedudukan tertuduh sebagai ketua balai polis yang sepatutnya menjadi contoh kepada anggotanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau lima bulan penjara jika gagal bayar selain bersetuju pertuduhan lain digugurkan atau diambil kira selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh. – SM

(Visited 296 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button