Luar Negarapilihan

Gara-gara didakwa sebar berita palsu, pelajar wanita di Dubai dipenjara 34 tahun

DUBAI: Mahkamah khas untuk keganasan dan jenayah keselamatan Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara 34 tahun terhadap seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) kerana menyebarkan berita palsu melalui Twitter.

Keputusan itu mendapat kecaman global selain aktivis dan peguam yang menganggap hukuman ke atas Salma al-Shehab, 34, ibu kepada dua anak dan penyelidik di Universiti Leeds, Britain itu amat mengejutkan walaupun dengan piawaian keadilan Arab Saudi.

Keputusan terbabit dibuat di tengah-tengah tindakan keras Putera Mahkota Mohammed bin Salman terhadap perbezaan pendapat walaupun pemerintahannya memberikan wanita hak untuk memandu dan kebebasan baharu lain di negara Islam ultrakonservatif itu.

Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Washington, Freedom Initiative, al-Shehab ditahan ketika percutian keluarga pada Januari 2021, hanya beberapa hari sebelum dia merancang untuk kembali ke United Kingdom.

Dokumen undang-undang yang diperoleh oleh The Associated Press menunjukkan, al-Shehab dipenjara selama lebih 285 hari sebelum kesnya dirujuk ke mahkamah.


Freedom Initiative menggambarkan al-Shehab sebagai ahli minoriti Islam Syiah Arab Saudi yang sekian lama mengadu mengenai diskriminasi sistematik dalam kerajaan yang diperintah Sunni.

“Arab Saudi berkata kepada dunia bahawa mereka meningkatkan hak wanita dan mewujudkan pembaharuan undang-undang, tetapi tidak ada persoalan dengan hukuman yang menjijikkan ini bahawa keadaan semakin buruk,” kata pengurus kes kumpulan itu, Bethany al-Haidari.

Keputusan berkenaan dibuat awal bulan ini ketika al-Shehab merayu hukuman awalnya selama enam tahun.

“Hukuman penjara (enam tahun) yang dikenakan ke atas defendan adalah kecil memandangkan jenayahnya.

“Saya menyeru untuk meminda hukuman itu berikutan sokongannya terhadap mereka yang cuba menimbulkan kekacauan dan menggugat kestabilan masyarakat,” kata seorang pendakwa raya negeri kepada mahkamah rayuan.

Kerajaan Arab Saudi di Riyadh serta kedutaannya di Washington dan London, tidak memberikan sebarang komen.

Universiti Leeds mengesahkan bahawa al-Shehab berada di tahun akhir pengajian kedoktorannya di sekolah perubatan. – AP

(Visited 103 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button