Nasional

Gara-gara 93 unit ventilator tidak dapat digunakan, Kerajaan rugi RM13.07 juta

Sebanyak 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) antara 2020 hingga April 2022 ketika pengurusan COVID-19, tidak dapat digunakan.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata ia menyebabkan kerugian dianggarkan sejumlah RM13.07 juta.

Turut didapati dalam audit yang dibuat terhadap aktiviti KKM itu adalah lebihan alat pelindungan peribadi (PPE) yang ketara dengan nisbah penggunaan antara 2.2 peratus dan 3.1 peratus masing-masing membabitkan sarung kasut dan sut PPE.

Katanya, ia berbaki sebanyak 3.08 juta pasang sarung kasut dan 0.84 juta helai sut PPE.

Beliau berkata, audit yang dijalankan juga mendapati sejumlah RM145.37 juta baki peruntukan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) masih belum dipulangkan oleh dua kerajaan negeri.

“Terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan program yang perlu diberi perhatian iaitu sejumlah RM145.37 juta baki peruntukan dana KWAN masih belum dipulangkan oleh Kerajaan Negeri sehingga April 2022.

“Sebanyak 93 unit ventilator yang dibekalkan oleh syarikat kepada fasiliti KKM tidak dapat digunakan. Ini menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM13.07 juta,” katanya pada sidang media LKAN Tahun 2021 Siri 2, di sini, hari ini.

Laporan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Nik Azman berkata, dua negeri yang masih belum mengembalikan dana KWAN adalah Selangor dan Sabah, yang sepatutnya dipulangkan selepas program itu tamat pada Oktober 2022.

Katanya, perbincangan kini sedang dijalankan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button