Nasional

Ganti GST dengan CGT, kutip cukai orang kaya – ADUN Amanah

CADANGAN untuk mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan GST umpama mimpi ngeri buat rakyat Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil sebaliknya mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan cukai yang dikenakan terhadap golongan kaya untuk menambahkan pendapatan negara antaranya Capital Gains Tax (CGT) atau cukai keuntungan modal.

Menurutnya, ketika ini keuntungan modal tidak dikenakan cukai kecuali atas penjualan hartanah ataupun Real Property Gains Tax.

Jelas beliau, keuntungan berjuta-juta ringgit yang dijana di pasaran saham, misalnya, tidak dikenakan sebarang cukai kecuali atas dividen yang diterima.

“CGT boleh dilaksanakan secara tingkat (tier) atas transaksi saham di pasaran modal Malaysia. Misalnya, kadar CGT bagi keuntungan melebihi RM100,000 daripada penjualan saham dikenakan lebih tinggi berbanding kadar cukai untuk keuntungan di antara RM50,000 dan RM100,000.

“Pada masa yang sama, cukai CGT atas keuntungan di bawah RM50,000 boleh dikecualikan supaya ia dapat menggalakkan lebih ramai pelabur runcit baharu berjinak dalam dunia pelaburan,” kata Faiz.

Katanya, konsep tersebut boleh digunakan ke atas aset-aset lain seperti barang kemas, pelaburan unit trust, bon atau sukuk, barang antik bernilai tinggi dan sebagainya yang tidak membebankan rakyat terbanyak yang cukup terkesan dengan pandemik Covid-19.

Faiz berkata, cukai CGT secara peringkat dan juga berdasarkan tempoh pegangan aset akan memastikan hanya individu yang menjana keuntungan atas modal yang tinggi melebihi paras tertentu dikenakan cukai.
“Ini seterusnya dapat menjaga kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendek kata, cukai ini hanya dikenakan kepada golongan kaya,” kata Faiz.

Jelas beliau Malaysia memerlukan cukai yang progresif seperti cukai CGT secara peringkat dan bukannya GST yang pukul rata semua golongan masyarakat.

Tegas beliau, Kerajaan PN tidak seharusnya mengambil jalan mudah meningkatkan hasil negara menerusi GST tetapi pada masa yang sama tidak mengendahkan kesannya kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut beliau, jika GLC dilaksanakan semula walaupun selepas ekonomi pulih tahun hadapan akan tetap menekan kuasa beli rakyat yang telah terjejas teruk sejak awal tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu menggesa kerajaan PN melupakan hasrat mengkaji semula pelaksanaan GST.

“Biarlah rakyat kembali stabil dari aspek kos sara hidup dan mengukuhkan kembali simpanan mereka untuk beberapa tahun akan datang.

“Jangan pula tangan kanan memberi Bantuan Prihatin Rakyat, tapi tangan kiri merampas kembali wang tersebut dalam bentuk GST,” kata Faiz.-SM

(Visited 334 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button