fbpx
Sukan

Gandingan Fatehah-Anis Amira raih gangsa di Korea Selatan

KUALA LUMPUR — Gandingan pelumba berpengalaman dan meningkat naik, Fatehah Mustapa dan Anis Amira Rosidi membuahkan hasil memberangsangkan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 di Korea Selatan yang membuka tirai Khamis.

Gandingan pelumba wanita negara itu berjaya meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan wanita, yang berlangsung di Veledrom Jingcheon National Training Centre.

Dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa, Fatehah dan Anis Amira yang mempamerkan henjutan bertenaga mencatat masa 34.792 saat menewaskan gandingan dari Hong Kong Yeung Cho Yin-Li Yin Yin yang mencatat 34.925s.

Terdahulu, pelumba negara merekod masa 35.081s untuk berada di tempat ketiga daripada keseluruhan tujuh pasukan yang bertanding dalam pusingan kelayakan.

Pingat emas dimenangi pasukan China yang diwakili Chen Feifei-Zhang Linyin manakala pingat perak diraih pelumba tuan rumah Kim Soohyun-Lee Hyejin yang masing-masing mencatat masa 33.423s dan 34.139s.


Nasib berbeza menimpa skuad berbasikal trek lelaki negara apabila terlepas pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan lelaki.

Skuad negara yang dibarisi Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis tewas kepada tuan rumah dalam aksi penentuan pingat gangsa selepas mencatat 45.066s berbanding Korea Selatan 44.920s.

Pingat emas acara itu dimenangi pasukan Jepun yang diwakili Amagai Kazuki, Nitta Yudai dan Fukaya Tomohiro, manakala China terdiri daripada Zhou Yu, Luo Yongjia dan Zhang Miao berpuas hati dengan pingat perak. — BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button