Nasional

Tanam pokok buah hijaukan kampus UPSI

PUSAT Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program menanam pokok buah-buahan bagi menghijaukan Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City semalam.

Program sempena sambutan 100 tahun penubuhan UPSI sejak zaman Sultan Idris Training College ( SITC) menyaksikan warga UPSI menyemai 100 anak pokok buah-buahan sebagai simbolik.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, pelaksanaan program itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan pusat pengajian yang menjangkau seabad usia menjelang 29 November ini, malah dapat menggalakkan misi penghijauan kawasan persekitaran kampus lebih 800 ekar itu.

“Usaha ini diharapkan dapat memupuk sikap prihatin dan semangat cintakan alam sekitar dalam diri setiap warga UPSI selain mencerminkan komitmen universiti menggalakkan persekitaran lebih hijau dalam kampus.

“Sebanyak 100 anak pokok yang ditanam terdiri daripada pokok buah-buahan tempatan antaranya seperti 40 anak pokok mangga, manggis(10), nangka (25) dan selebihnya rambutan,” jelasnya semasa ucapan perasmian program di Dewan Jauhar, Pusat Pengembangan Kecemerlangan Kanak-kanak Negara ( NCDRC) Kampus Sultan Azlan Shah, di sini.

Hadir sama menanam anak pokok adalah Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin, Pendaftar , Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Pengarah UCTC,Prof Madya Dr Mohd Azlan Hanafiah.

Menurut Md Amin lagi, program yang turut melibatkan kerjasama strategik bersama Jabatan Pengurusan Pembangunan Harta Benda (JPPHB) , Kolej-kolej kediaman, Bahagian Pengangkutan UPSI yang turut sama menjayakan program tersebut akan menyemai lebih 900 anak pokok lagi secara berperingkat selepas mengenalpasti kawasan bersesuaian sekitar kampus yang akan dikenali sebagai ‘UPSI Woodlands’. -SM

(Visited 437 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button