Nasional

Gambar Ismail Sabri lulus jadi ‘poster boy’ BN

UMNO Bahagian Padang Terap hari ini meluluskan usul menjadikan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘Poster Boy’ untuk parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai kerana diyakini mampu menarik orang ramai untuk mengundi BN dan UMNO.

“Keputusan supaya Ismail Sabri menjadi ‘poster boy’ ini diluluskan secara sebulat suara dan faktor utamanya kerana beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika ini.

“Beliau juga dilihat menjalankan tugas dengan baik dan faktor tersebut diyakini dapat menarik lebih ramai orang untuk mengundi UMNO dan BN,” katanya.

Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak, Naka, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Ghazali Ibrahim, Naib Ketua, Datuk Badrol Hisham Hashim serta ketua-ketua sayap parti itu di bahagian tersebut.

Keputusan itu jelas Mahdzir, diyakini juga akan menjadi strategi yang baik kepada parti tersebut bagi memenangi hati pengundi pada PRU akan datang.

Selain usul berkenaan, tiga lagi usul yang diluluskan secara sebulat suara dengan satu daripadanya adalah menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal pada 2023.

Mengulas mengenai usul berkenaan Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri perlu diberi masa dan ruang mencukupi untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terutamanya berkaitan pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Dalam erti kata lain, PRU-15 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat.

“Apabila sampai satu ketika beliau merasakan sudah sampai masanya untuk adakan pilihan raya bersandarkan faktor tertentu, biarlah Ismail Sabri sendiri berbincang dengan kepimpinan parti,” katanya.

Ditanya mengenai kelayakan Ismail Sabri untuk diangkat sebagai Presiden parti, Mahdzir berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada ahli parti pada pemilihan akan datang.

“Itu soal pemilihan dan berbeza sama sekali dengan usul yang kita luluskan hari ini.

“Namun kalau boleh, kita mahu supaya Perdana Menteri menjadi orang sama menguruskan urusan berkaitan parti.

“Apa pun saya sebutkan tadi, ini perlu dikembalikan kepada ahli dan kita perlu kembali kepada bahagian serta akar umbi bagi menentukan perkara tersebut,” katanya. – SM

(Visited 372 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button