Politik

Gambar 4 tahun lepas

SEKEPING gambar Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah Mohd. Ali yang tular di media sosial hari ini merupakan foto yang dirakam empat tahu lepas.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang turut berada dalam gambar itu bersama isterinya, berkata, gambar berkenaan diambil pada bulan Syawal beberapa hari selepas menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Khairuddin yang terkenal sebagai penyokong setia Dr. Mahathir berkata, pihak yang menyebarkan gambar tersebut mempunyai motif untuk mewujudkan pelbagai spekulasi ketika negara sedang menghadapi suasana politik yang tidak menentu.

“Ini bukan gambar baharu!! Saya yakin ada kalangan tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba ‘menangguk di air yang keruh!!’

“Dalam masa yang sama saya juga tidak faham kenapa gambar ini ditular pada saat dan ketika masakini?!

“Sebagai rumusannya, saya ingin menafikan bahawa ini bukan gambar baharu sepertimana yang digembar-gemburkan oleh kalangan tertentu yang tidak bertanggungjawab serta berniat jahat dalam sosial media pada hari ini!”kata Khairuddin.

Menurut Khairuddin, Dr. Mahathir menggunakan pelitup muka ketika itu kerana baharu sahaja sembuh daripada jangkitan paru-paru.

Sebelum ini nama Tengku Razaleigh menjadi sebutan selepas beliau dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Beliau menghadap Al-Sultan Abdullah selepas sesi menghadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersembahkan dokumen untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selesai.

Setiausaha Politik Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Ghani berkata, pertemuan itu adalah atas perkenan Al-Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan daripada Tengku Razaleigh mengenai situasi semasa politik negara.

Semalam Tengku Razalegih berkongsi surat yang dihantar kepada kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, pada 25 September lalu.

Surat itu mempersoalkan mengapa Usul Tidak Percaya kepada Perdana Menteri tidak dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat yang lepas.

Justeru beliau meminta usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu diberi keutamaan untuk dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadual bermula 2 Nov ini.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berpandangan usul itu penting dalam menentukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Dari segi perlembagaan, tiada peruntukan dalam Tatacara Tetap (Standing Orders) yang boleh menghalang usul ini daripada dibentang di dewan yang mulia ini sebagai suatu keutamaan mendesak.

“Dengan hormatnya, saya mohon jaminan agar Usul Tidak Percaya ini akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai suatu keutamaan pada persidangan akan datang ini,” kata Tengku Razaleigh yang menjadi Ahli Parlimen sejak 1974.-SM

 

 

 

(Visited 355 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button