Nasional

Siti Kasim turut bersedih Maszlee letak jawatan

Peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan semalam turut mengundang rasa sedih terhadap pengkritik tegar pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, Siti Kasim.

Peguam tersebut berkata, beliau sedar bahawa segelintir masyarakat mungkin berpendapat dia berasa gembira dengan peletakan jawatan tersebut.

Namun menurut Siti Kasim, dia sebenarnya berasa sedih kerana amat berharap Maszlee dapat melakukan perubahan dalam sistem pendidikan namun berakhir dengan peletakan jawatannya dalam Kabinet.

“Saya tahu orang mungkin fikir saya gembira dengan berita itu. Percayalah, saya rasa sebaliknya.

“Rasa sedih jadi begini akhirnya. Saya berharap dia berusaha melakukan perubahan kerana kita semua tahu taraf pendidikan kita adalah jauh lebih rendah,” kata Siti Kasim.

Siti Kasim juga merupakan Pengasas Malaysian Action for Justice and Unity (Maju) sebuah badan bukan kerajaan yang aktif menentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Beliau sebelum ini menegaskan tulisan Jawi adalah isu yang tiada bezanya dengan penulisan Sanskrit atau Latin yang telah pupus dari segi penggunaan, pengetahuan dan pendidikan. Katanya, tulisan Jawi tidak sepatutnya mempunyai tempat sebagai subjek kurikulum wajib walau dari segi apa pun.

Menurut Siti Kasim, selepas peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan serangan ke atas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu perlu dihentikan.

“Saya berpendapat kita harus menghentikan serangan terhadap beliau sekarang dan bergerak ke hadapan.

“Saya hanya berharap sesiapa yang menggantikannya akan mengambil tahu tentang banyak perkara yang saya tulis mengenai pendidikan,” kata Siti Kasim.

Peguam itu sebelum ini pernah menyuarakan padangan bahawa kualiti dan standard Pendidikan Kebangsaan Malaysia telah menurun dengan drastik setelah 30 tahun akibat kesan mempolitikkan pendidikan oleh pihak politik yang berkuasa ke atas sistem pendidikan kebangsaan.

Jelas Siti Kasim, keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 daripada Organisasi untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD menunjukkan kualiti pembelajaran pendidikan Malaysia jatuh jauh di bawah peringkat purata antarabangsa dari segi pembacaan, matematik dan sains.

“Tetapi ini langsung tidak dibincangkan sebaliknya Jawi menjadi isu hangat pendidikan di Malaysia. Apakah prioriti kementerian pendidikan dan kerajaan Malaysia? Keruntuhan sistem pendidikan anak-anak Malaysia atau Jawi?

“Sememangnya ini menunjukkan betapa tanggungjawab pendidikan di Malaysia telah diabaikan dan mentaliti pembangunan pembelajaran negara telah dirosakkan atas kepentingan politik.

“Tiba masanya untuk sistem pendidikan Malaysia diperbincangkan dari segi kepincangan aspek-apek penting seperti pembacaan, sains dan matematik, bukan Jawi,” kata Siti Kasim. -SM

 

 

 

(Visited 431 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button