Nasional

Gaji minimum naik, pengusaha restoran harap boleh serap kos lebih tinggi

WALAUPUN gaji minimum baharu RM1,500 berkuat kuasa hari ini akan meningkatkan kos operasi, segelintir pengusaha restoran bersetuju bahawa pelanggan tidak harus menanggung beban menerusi kenaikan harga.

Cef Yogesh Upadhyay daripada restoran FLOUR berkata, walaupun kenaikan gaji minimum akan memberi tekanan besar terhadap perniagaannya, beliau akan cuba sedaya upaya menguruskan kenaikan kos secara keseluruhan yang akan ditanggung akibatnya.

“Kami akan cuba menyerapnya, tetapi tidak tahu berapa lama. Ia akan menjadi sukar,” katanya.

Harga makanan telah “mencapai paras tertinggi”, katanya, dan margin keuntungan menjadi tipis sejak permulaan wabak Covid-19.

Perniagaannya masih belum melihat sebarang kesan positif selepas pembukaan semula sempadan pada 1 April, ujar beliau.


Sementara itu, David Chin, pengusaha Cafe-Bistrot David, juga memutuskan tidak akan menaikkan harga.

Walaupun terpaksa berdepan peningkatan kos bahan yang dikatakan “drastik” sejak akhir-akhir ini, Chin berkata, beliau tiada masalah dengan kenaikan gaji minimum kerana semua pekerjanya sudah memperoleh pendapatan lebih RM1,500.

“Kami berpegang kepada membayar pekerja kami lebih tinggi daripada standard industri kerana kami percaya merekalah yang mendorong perniagaan untuk maju.

“Bagi kami, penyesuaian harga patut berkait secara langsung dengan kos bahan-bahan,” katanya lagi.

Memetik peningkatan kos sara hidup dan inflasi, pengusaha restoran Fire Grill Shankar R Santhiram berkata, kenaikan gaji minimum “sangat perlu”.

Beliau tidak akan menaikkan harga kerana semua pekerjanya dibayar melebihi gaji minimum baharu, katanya sambil menegaskan, pekerja berhak mendapat gaji yang setara dengan tenaga mereka.

Dasar gaji minimum baharu akan menyaksikan kenaikan daripada RM1,100 (atau RM1,200 di 57 bandar utama) yang dilaksanakan sejak 1 Januari 2020.

Walaupun kenaikan gaji 25-35% dialu-alukan oleh mereka yang berpendapatan lebih rendah dan juga kesatuan pekerja untuk menangani peningkatan kos sara hidup, banyak kumpulan perniagaan berkata, ia terlalu drastik dan mungkin menghalang pertumbuhan ekonomi selepas Covid-19.

Antara pihak yang menganggap kenaikan itu melampau adalah Persatuan Pengusaha Restoran India (Primas), yang memberi amaran bahawa kenaikan gaji minimum mungkin menyaksikan sebahagian daripada 1,500 ahlinya terpaksa menutup kedai.

Presiden Primas J Suresh berkata, ada antara ahlinya mengelak daripada menaikkan harga walaupun kos bahan mentah meningkat dan perniagaan merosot semasa wabak Covid-19 namun mungkin bukan semua restoran mampu menanggung kos tambahan ini.

Pekerja asing yang sebelum ini dibayar RM1,200 kini akan mendapat RM300 lebih, dan beliau meminta pelanggan membayangkan nasib restoran yang mempunyai 10 pekerja asing.

“Kos akan meningkat sebanyak RM3,000 (bagi pengusaha) – ini adalah kenaikan yang mendadak. Bukan semua restoran mampu menanggungnya, jadi mereka akan terpaksa menaikkan harga.

“Kenaikan gaji minimum akan meletakkan kami dalam kedudukan yang sukar. Kami tidak boleh terus menyerap kos yang semakin meningkat,” jelasnya.

Beliau berkata, persatuan itu akan menyerahkan kepada restoran untuk membuat keputusan, sambil menambah, jika mereka dapat kekal tanpa menaikkan harga, itu adalah sesuatu yang bagus.

“Namun, kami juga faham jika mereka memutuskan untuk menaikkan harga disebabkan gaji minimum baharu,” katanya. – FMT – SM

 

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button