Nasional

Gajet, liputan internet jadi keperluan asas dalam PdPR

ALAT memudah cara pendidikan seperti capaian internet dan gajet, sudah menjadi keperluan asas dalam proses Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dalam situasi negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Bagaimanapun capaian internet yang kurang memuaskan dan harga gajet komunikasi seperti telefon pintar dan tab yang agak mahal, terutama kepada golongan kurang berkemampuan merupakan cabaran terbesar kepada ibu bapa, khususnya di Sabah bagi memastikan PdPR berjalan lancar.

Seorang jururawat Norliani Mahadi, 43, berkata, capaian internet dan gajet merupakan dua faktor yang saling bergantung antara satu sama lain, dalam memastikan sesi PdPR sempurna, justeru sesi PdPR pelajar akan terganggu sekiranya salah satu faktor itu tidak disediakan dengan sempurna.

Beliau yang mempunyai seorang anak berusia 10 tahun dan sedang mengikuti PdPR itu berkata, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa capaian internet di Sabah belum mencapai tahap memuaskan, terutama di kawasan pedalaman selain pakej internet masih pada tahap kurang mampu milik, terutama untuk golongan B40.

“Beli gajet mahal atau canggih macam mana pun, jika capaian internet bermasalah tidak guna kerana tidak boleh buat PdPR, internet baik tetapi harga gajet terlampau mahal orang tidak mampu beli, sama juga. Semua faktor ini perlu ambil perhatian secara bersama,” katanya kepada Bernama di sini.

Seorang lagi jururawat Amrata Kumbayat, 46, berkata, empat anaknya berusia lapan hingga 19 tahun memiliki telefon pintar, bagi membolehkan mereka mengikut sesi PdPR, namun berpendapat keberkesanan PdPR, tidak akan sebaik pembelajaran secara bersemuka.

“Tetapi pada masa sekarang dengan COVID-19 menular, kita tiada pilihan selain laksanakan PdPR, maka kemudahan itu perlu disediakan dan perlu dipastikan mampu milik untuk semua golongan, kerana kita mahu berikan pendidikan untuk semua orang,” katanya.

Beliau berkata selain cabaran menyediakan kemudahan itu, ibu bapa terutamanya yang bertugas di barisan hadapan seperti dirinya, perlu membahagikan masa bagi membantu proses PdPR anak-anak dan memastikan internet dan gajet itu, digunakan sebaiknya untuk pembelajaran.

Amir Ariq Danie Amir Hasan, 16, seorang pelajar tingkatan empat pula berkata, beliau menghadapi cabaran dalam PdPR apabila baharu berpindah sekolah mengikut keluarganya dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu tahun ini.

“Jika kita hendak belajar dengan baik, kita kena kenal guru dan rakan-rakan, tetapi PdPR ini kita kenal melalui dalam talian sahaja, tidak sama dengan bertemu bersemuka. Diharap nanti saya dapat jumpa semua selepas COVID-19 reda nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang penyelia kedai alat telekomunikasi Geeryleon Alimus, 23, berkata beliau serta petugas kedai, pada masa ini sibuk memudah cara ibu bapa membuat pembelian telefon bimbit dan pakej internet yang sesuai serta mampu milik, mengikut bajet masing-masing.

“Ramai ibu bapa yang beli telefon untuk anak-anak mereka pada harga sekitar RM400, kita jual sesuai untuk anak mereka mengikuti PdPR, jika ada bajet lebih kita cadangkan yang ada banyak lagi fungsi dan kuota internet lebih besar,” katanya.

Jurujual kedai komputer di sini Edmund Johnson, 39, mengakui jualan bagi alat tab di premis itu, meningkat sehingga 75 peratus sejak PdPR dilaksanakan dan kebanyakkan pembeli tab di premisnya adalah dalam kalangan ibu bapa.

Katanya  kedai itu juga menyediakan komputer, komputer riba dan tab terpakai yang telah dibaik pulih, untuk dijual kepada ibu bapa kurang berkemampuan dengan harga jauh lebih murah daripada yang baharu.

“Memang ramai ibu bapa yang membeli mengikut bajet masing-masing, yang penting ada webcam,  WiFi atau ada untuk kegunaan lain, kami akan cadangkan barangan mana yang sesuai dan kita bantu mereka sebaik-baiknya,” katanya. – BERNAMA

(Visited 673 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button