Nasional

Elaun pegawai syarak Melaka naik antara RM50 hingga RM200

Khabar gembira buat 1,110 pegawai syarak di Melaka akan menikmati kenaikan elaun daripada RM50 sehingga RM200 sebulan bermula bulan depan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kenaikan elaun tersebut melibatkan imam, bilal, noja dan pengurus jenazah wanita (PJW) di 185 buah masjid Melaka.

Menurutnya, kenaikan kadar baharu berkuatkuasa Oktober ini menyaksikan imam 1 dan imam 2 masing-masing memperoleh RM930 dan RM920 sebulan, meningkat RM50.

Beliau berkata, bagi elaun bilal dan noja pula masing-masing dinaikkan kepada RM500 berbanding

RM300 dan RM310 sebelum ini, manakala PJW 1 dan 2 menjadi RM300 berbanding RM100 sebelum ini.

“Kali terakhir elaun pegawai syarak Melaka dinaikkan pada 2014 yang hanya melibatkan bilal, noja dan PJW dan kenaikan bulan depan melibatkan semua pihak antara RM50 hingga RM200.

“Peningkatan kadar baharu itu tidak diperbaharui sejak 2014 dan keseluruhan peruntukan kali ini berjumlah RM127,650 sebulan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah bersetuju untuk memberikan kenaikan kadar baharu bagi tahun 2022 ini.

Menurutnya, kenaikan ini sekaligus menyaksikan jumlah tambahan peruntukan buat Majlis Agama Islam (MAIM) adalah sebanyak RM1.5 juta setahun.

Katanya, secara keseluruhanya, MAIM membelanjakan lebih RM3.88 juta setahun untuk perbelanjaan elaun pegawai syarak. – SM

Kenaikan Oktober
Imam 1 = RM 930.00 (RM880) – Kenaikan sebanyak RM 50.00
Imam 2 = RM 920.00 (RM870) – Kenaikan sebanyak RM 50.00
Bilal = RM 500.00 (RM310) – Kenaikan sebanyak RM 190.00
Noja = RM 500.00 (RM300) – Kenaikan sebanyak RM 200.00
PJW 1&2= RM 300.00 (RM200) – Kenaikan sebanyak RM 100.00

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button