Kemalangan

Gajah Liar Serang Kereta, Bunyi Hon Didakwa Cetus Reaksi Agresif

SEBUAH kereta jenis Toyota Vios mengalami kerosakan teruk selepas diserang tiga ekor gajah dalam satu kejadian berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berdekatan Sungai Lebey, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.36 malam daripada seorang lelaki berusia 39 tahun, yang memaklumkan insiden berlaku sekitar jam 8.15 malam di Kilometer 11 JRTB.

“Hasil siasatan mendapati mangsa telah memberhentikan kenderaan selepas melihat sekumpulan gajah melintas jalan. Namun, bunyi hon dari sebuah kenderaan lain di belakang dipercayai mencetuskan reaksi agresif daripada haiwan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, ketiga-tiga ekor gajah tersebut secara tiba-tiba menghampiri kenderaan mangsa, menyebabkan pemandu panik dan segera keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar sebelum serangan berlaku,” tambahnya.

Zulkifli memaklumkan, kenderaan terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan, belakang serta kedua-dua sisi akibat serangan itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat haiwan liar serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Elakkan daripada membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi apabila berhadapan dengan haiwan liar seperti gajah bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button