Nasional

Kebiasaan baharu warnai sambutan Hari Raya Aidilfitri

HARI ini, umat Islam di Malaysia meraikan ketibaan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang cukup berbeza. Segala tradisi yang menjadi kebiasaan sebelum ini terpaksa dilupakan.

Sebaliknya, kebiasaan baharu yang diterap dan dijadikan amalan sejak bulan Ramadan lalu menjadi amalan, demi memastikan rantaian virus Covid-19 dapat diputuskan.

Bermula daripada terbenamnya matahari Ramadan malam tadi, gema takbir raya dari surau dan masjid hanya mampu didengar dari jauh menandakan Aidilfitri sudah menjelang tiba.

Ada sesetengah yang bertakbir sesama keluarga bagi memastikan kehadiran Syawal dialu-alukan.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, aktiviti di surau dan masjid hanya khusus untuk kakitangan yang bertugas sahaja. Ini bukan kebiasaan baharu, tetapi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPB ini.

Pagi ini, boleh dikatakan di setiap rumah berkemundang takbir hari raya.

Disebabkan larangan menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau, maka ia hanya ditunaikan di rumah bersama ahli keluarga.

Mungkian sesetengahnya buat kali pertama takbir Hari Raya berkemundang di rumah masing-masing.

Malah Aidilfitri kali ini menyaksikan buat kali pertama ketua keluarga mengimamkan solat sunat Aidilfitri, malah menyampaikan khutbah selepas itu.

Secara tidak langsung PKPB dan kebiasaan baharu ini turut menampil bakat sebagai imam dan pemimpin dalam kalangan para suami atau ketua keluarga.

Begitu juga dengan tradisi kunjung mengunjung sesama keluarga dan jirang tetangga.

Ada ibu dan bapa yang tidak dapat berjumpa dengan anak-anak mereka pada Hari Raya kali ini seperti kebiasaannya.

Namun itu bukan penghalang untuk mereka bersua muka bagi memohon ampun dan maaf.

Panggilan video melalui pelbagai aplikasi yang terdapat di telefon pintar menjadi medium merapatkan ibu bapa dan anak-anak yang berjauhan pada Aidilfitri ini ekoran PKPB.

Lebih manis lagi, satu keluarga boleh dihimpunkan melalui panggilan video ini, yang sedikit sebanyak dapat membantu melepaskan rindu di Aidilfitri.

Kunjung-mengunjung antara jiran tetangga mungkin masih berlaku, tetapi tentunya dalam jumlah yang kecil. Ini bagi memastiakn SOP penjarakan sosial dapat dilakukan.

Ketika wabak Covid-19 masih lagi membelenggu seluruh dunia, setiap orang perlu mengambil langkah berhati-hati supaya kita sama-sama dapat memutuskan rantaian penularan virus ini.

Kebiasaan baharu yang menjadi amalan umat Islam sepanjang Ramadan dan membawa ke Syawal ini merupakan sebahagian daripada umat Islam di negara ini bagi memastikan usaha memutuskan rantai Covid-19 benar-benar berkesan.

Semua kebiasaan baharu ini adalah demi untuk kemaslahatan umat secara keseluruhan.

Ibarat peri bahasa Melayu, seekor kerbau membawa lumpur habis sekandang terpalit. Itu yang berlaku di Kelantan baru-baru yang membabitkan seorang ibu mengandung yang positif Covid-19, yang telah menyebarkan virus itu kepada kaum kerabatnya di kampung.

Memang akan ada segelintir individu yang mementingkan diri tidak mengendahkan kebiasaan baharu ini.

Tetapi, percayalah tindakan mereka membahayakan keselamatan orang lain termasuk ahli keluarga mereka sendiri itu tentunya tidak akan terlepas.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu mereka sampai ke rumah. Golongan yang mementingkan diri seperti ini sememangnya perlu dihukum. Disebabkan sikap golongan seperti inilah negara sukar keluar daripada belenggu Covid-19. – SM

 

 

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button