Berita

Peniaga kraftangan, cenderamata di Melaka kecewa pembekal naikkan harga

MELAKA 19 Jan. – Kenaikan mendadak harga barangan asas terutamanya makanan seperti ayam, ikan, sayur dan sebagainya memberikan kesan yang begitu besar buat rakyat.

Belum pun reda mengenai isu tersebut, kini peniaga kraftangan, makanan tradisional, cederamata dan sebagainya di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Bandar Hilir kini resah apabila pembekal menaikkan harga barangan mulai awal bulan ini.

Keadaan itu kian meresahkan mereka ketika perniagaan yang dijalankan sudah mula kembali bernafas sejak November lalu selepas hampir dua tahun tidak dapat menjalankan operasi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peniaga di kawasan pelancongan di Melaka kini tertekan sama ada mahu menaikkan harga atau kekal dengan harga sebelum ini walapun kenaikan semua barangan tersebut antara lima hingga 10 peratus.

Ketika suasana kembali rancak dengan ribuan pelancong domestik mengunjungi Melaka selepas larangan rentas negeri ditarik balik oleh kerajaan, kini peniaga kian resah kenaikan barangan yang dijual mereka
daripada pembekal.

Bagi peniaga di Medan Samudera, Bandar Hilir dekat sini sebahagian besar daripada mereka terus kekal menjual barangan pada harga lama walaupun pembekal mula menaikkan harga sejak awal tahun ini.

Seorang peniaga, Omar Azzwan, 38 berkata, pembekal telah memaklumkan mengenai perkara tersebut tahun lalu dengan kenaikan antara antara lima hingga sepuluh peratus.

Dia yang berniaga hampir 19 tahun di medan tersebut melahirkan rasa terkejut mengenai perkara itu namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana ketidaan pembekal lain.

“Walaupun pembekal menaikkan harga tetapi saya masih kekal menjual pelbagai barangan pada harga lama. Sebagai contoh satu pek lima rantai kunci, saya masih jual pada harga RM10.

“Saya terpaksa mengekalkan banyak barangan yang dijual pada harga lama bimbang jika saya jual harga yang mahal mungkin pelanggan akan lari,” ujarnya hari ini.

Bagi seorang lagi peniaga, Syahirah Abdullah, 26, juga turut terkejut dengan tindakan pembekal menaikkan harga barangan bukan sahaja kraftangan tetapi juga makanan tradisional seperti belacan, cencalok, kerepek, ikan masin dan sebagainya.

Katanya, walaupun harga daripada pembekal naik namun dia mengambil keputusan masih kekal menjual mengikut harga lama.

“Saya tidak mahu naikkan harga barangan mendadak kerana bimbang akan kehilangan pelanggan. Saya baru nak mula berniaga selepas rugi hampir RM60,000 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rentas negeri tidak dibenarkan,” ujarnya.

Bagi Azhar Johari, 51, yang berniaga di medan tersebut sejak empat tahun lalu, mengakui tersentak dengan tindakan pembekal menaikkan harga pelbagai jenis barangan sejak awal tahun ini.

Dia yang menjual pelbagai jenis barangan kraftangan mengakui terkesan dengan kenaikan harga tersebut.

“Sebahagian besar barangan kraftangan yang saya jual masih mengikut harga lama melainkan barang yang sukar diperolehi. Kalau naik pun ia tidak membebankan pelanggan,” katanya.

Ujarnya, dia mengambil keputusan untuk menjual pada harga lama kerana bimbang akan kehilangan pelanggan jika barang mahal.

Katanya, walaupun memperoleh untung sedikit tetapi itu sudah mencukupi jika hendak dibandingkan kerugian sebanyak RM50,000 yang ditanggung sejak PKP lalu.

(Visited 521 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button