fbpx
Nasional

Gagasan 2020 yang diharapkan

SEMPENA ambang tahun 2020 kami menyatakan harapan untuk tahun tersebut sebagai dekad ke-2 abad 21 ini akan dapat diusahakan sebagai Tahun Keamanan dan Kemanusiaan Malaysia.

Melihat kepada senario sepanjang dua dekad yang lalu dunia sedang menyaksi kemelut yang sangat kronik dari sudut keamanan dan kemanusiaan.

Jika dinilai dari sudut ekonomi, trilion dolar tersalur untuk menangani ketegangan dan krisis kemanusiaan yang melanda dunia. Malangnya ada pihak yang meraih keuntungan dari krisis yang dicetuskan.

Krisis kemanusiaan yang paling parah ternyata disaksikan dalam 2 dekad yang lalu. Genosid, penghapusan etnik, penafian hak, jenayah perang, polisi aparteid, pelanggaran dan keganasan keatas hak manusia , undang-undang drakonian. Semua ini kelihatan memuncak sehingga memangsakan jutaan rakyat awam.

Harapan melinium yang diwar-warkan setakat ini ternyata hanya menjadi impian kosong. Malah menjadi petaka besar untuk dunia.

Bermula tahun 2000, dunia dihadapkan dengan krisis alam lingkungan dan krisis peperangan antara negara yang paling membinasakan.

Jutaan menghadapi kebuluran, hilang tempat tinggal, menjadi pelarian, terputus bekalan makanan, air bersih dan ubatan. Ada yang dimansuhkan kerakyatan.

Politik antarabangsa dan politik rantau dan nasional menjadi tegang sehingga keamanan dan kemanusian dipergadai dan dipersetankan.

Ketegangan sehingga membawa kepada peperangan telah menghancur beberapa negara di Asia Barat, dan benua Afrika serta Latin Amerika.

Sementara itu Malaysia telah melalui perubahan besar dalam ekonomi dan politik yang sangat berwarna-warni. Namun cabaran mengurustadbir negara dengan ekonomi, politik negara sering berdepan dengan konflik
kepartian yang melelahkan. Perubahan kerajaan dalam PRU14 memberi harapan baharu akan tetapi rakyat mendambakan uruskelola kerajaan yang menumpu kepada memperbaikki sistem penyampaian yang efisien, berintegriti serta beramanah dalam pelbagai sektor pembangunan.

Sementera itu juga pergantungan negara kepada tenaga luar kian meruncing dan reformasi pembinaan sumber manusia maseh belum cukup memenuhi ke tahap yang sepatutnya.

Kami meletakkan harapan bahawa tahun 2020 dijadikan lonjakkan untuk mencapai keamanan dan meningkatkan usha menguruskan krisis kemanusiaan dunia.

Dengan yang demikian kami menggariskan tindakan yang sepatut dizahirkan untuk 2020 :

1. Malaysia perlu mempertingkatkan peranannya membantu menyelesaikan konflik rantau yang berkaitan isu Rohingya, Uyghur, Kashmir.

Malaysia harus mempunyai pendirian yang tegas, berprinsip untuk menjuarai isu keamanan dan kemanusiaan.

Isu perjuangan pembebasan Palestin perlu diangkat dengan lebih jelas.

Malaysia perlu mengguna pendekatan yang strategik untuk berperanan dalam pelbagai forum antarabangsa bagi menyelesai konflik yang berlaku.

2. Resolusi dari inisiatif Persidangan Kemuncak KL 2019 perlu diterjemahkan segera. Negara-negara yang bersetuju dengan pendekatan Malaysia perlu diakrabkan untuk memulakan inisiatif yang lebih dinamik dan progressif dalam pelbagai isu antarabangsa dan mengukuh serta mengangkat martabat ekonomi mandiri antara negara.

3. Dasar Ekonomi Malaysia yang mapan perlu dijadi tumpuan. Konsep pembangunan yang mengekspolitasi sumber alam secara tidak mapan perlu dihentikan.

Perang perdagangan dan persaingan yang sengit antara kuasa besar memerlukan Malaysia mengambil inisiatif untuk mengalih dari sistem kewangan yang terikat kepada USD dan Euro.

Sementara itu juga Malaysia perlu mengelakkan diri dari sebarang perjanjian yang menjejas ruang polisi untuk menjaga kepentingan negara.

4. Perpaduan nasional perlu disegarkan semula antara kaum dalam negara. Menjalin perhubungan antara kaum sekaligus menjunjung perlembagaan negara perlu diperkukuhkan. Sensitiviti agama dan kepentingan antara kaum perlu dipelihara berdasarkan lunas Rukun Negara yang disepakati.

5. Isu pemeliharan kualiti alam sekitar perlu dijadikan agenda utama dalam pembangunan negara. Sepanjang 2 dekad ini Malaysia menyaksikan krisis alam sekitar yang serius. Malaysia perlu berperanan dalam isu perubahan cuaca demi kesejahteraan alam dan generasi akan datang. Malaysia perlu mengambil inisiatif dalam isu kritikal seperti gunatenaga, carbon footprint, guna sumber air, keseimbangan ekologi dan memelihari kepelbagaian bio.

6. Isu bahasa dan budaya kebangsaan dalam pembangunan perlu disegarkan semula. Penegasan semula penggunaan bahasa kebangsaan dan menterjemahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan hendaklah disegarkan dalam tahun 2020. Meningkatkan kualiti pendidikan yang berasaskan nilai dan bina karaktor serta membima potensi setiap pelajar perlu digubal segera.

 

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button