Nasionalpilihan

Kerajaan akan laksana operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak paket

Juga bakal lancar Menu Keluarga Malaysia untuk harga makanan berpatutan di institusi-institusi pengajian tinggi

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam.

Mesyuarat telah membuat keputusan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara.

Operasi ini bertujuan mendapatkan status sebenar mengenai jumlah minyak masak paket yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluaran dan pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu.

Kerajaan telah mengerahkan pihak penguatkuasa yang terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam.

Ismail Sabri berkata, “Langkah ini demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna,”

“Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.”

Perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam.

Dalam masa sama, Kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

Kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin. – SM

Artikel berkaitan > Subsidi minyak masak paket diteruskan untuk B40

 

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button