Nasional

Gagal patuhi SOP, 150 tapak pembinaan diarah tutup

WALAUPUN dibenarkan beroperasi namun ada segelintir syarikat pembinaan yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha negara membendung penularan pandemik COVID-19.

Natijahnya, sebanyak 150 tapak pembinaan di seluruh negara telah diarahkan tutup serta merta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu.

Jumlah tersebut meliputi 34 peratus daripada jumlah keseluruhan 446 tapak pembinaan yang beroperasi dalam tempoh penguatkuasaan PKP 3.0.

Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan berkata, daripada 150 tapak pembinaan yang dikenakan tindakan sebanyak 45 terletak di Sarawak.

Ini diikuti Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (4), Perlis (3) dan Kelantan (1).

Bagaimanapun sebanyak 11 tapak pembinaan dibenarkan dibuka semula selepas mematuhi SOP iaitu di Terengganu (4), Melaka (3), Johor (2), KL (1) dan Kedah (1).

“Kementerian amat memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana ianya satu perkara yang amat membimbangkan dan akan menjejaskan objektif PKP penuh ini untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

“Sejak PKP 3.0 bermula, CIDB telah mempergiatkan pemeriksaan di tapak pembinaan, dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 susulan peningkatan penularan kes positif COVID-19 di tapak pembinaan seluruh negara, khususnya di Lembah Klang,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP 3.0 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah melakukan pemeriksaan ke atas 2,423 tapak pembinaan.

Daripada jumlah berkenaan sebanyak 446 atau 18 peratus tapak pembinaan didapati beroperasi manakala sebanyak 1,977 82 peratus tidak beroperasi.

Kementerian Kerja Raya mahu semua kontraktor komited sepenuhnya dalam memikul tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan dan penempatan pekerja mematuhi SOP.

Pihak syarikat juga perlu memastikan semua pekerja menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan bebas dari jangkitan sebelum dibenarkan bekerja di tapak pembinaan.

“Penggiat industri pembinaan diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP 3.0 atau berdepan dengan tindakan tegas oleh CIDB.

“Selain mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000.00 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor,” katanya.

Semua penggiat industri pembinaan diwajibkan mematuhi arahan semasa dan SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan matlamat PKP 3.0 dapat dicapai.-SM

 

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button